Sinar Harian
SHAH ALAM - Seorang lelaki sanggup berulang-alik dari Shah Alam ke Gombak sejak dua tahun lepas demi menziarahi pusara arwah isterinya yang tidak pernah lekang daripada ingatan.Azreein Aziz, 50, berkata, rutin menziarahi pusara arwah isterinya, Nor Hazamiah Lukman di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Gombak, Kuala Lumpur dilakukan hampir setiap petang selepas waktu Asar.Menurutnya, dia akan meluangkan masa sekurang-kurangnya sejam di tanah perkuburan untuk mengaji, berdoa dan ‘bersembang’ dengan arwah isterinya."Kalau saya tak ada apa-apa urusan, memang setiap petang saya akan pergi ziarah dia. Itu rutin saya. Selepas itu, saya akan potong rumput, tengok bunga-bunga, kalau dah tak cantik saya ganti baharu."Saya memang suka pergi hari-hari, saya ziarah sebab nak dekat dengan dia sebab kami sudah lama bersama dan berkahwin. Jikalau, sudah lama berkahwin, tak kan baru dua tahun, saya sudah pergi ziarah."Saya datang sebab rindu. Saya sembang-sembang dengan dia, cerita pasal anak-anak, sambil mengaji dan berdoa. Kadang-kadang duduk diam pun saya rasa damai dan tenang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Menurut Azreein, setiap kali menziarahi pusara, dia akan membawa bunga untuk menghiasi kubur arwah selain memastikan kawasan pusara sentiasa dalam keadaan kemas dan terjaga."Arwah sebenarnya suka bunga ros, tapi bunga ros tak tahan lama. Saya pula memang suka bunga kekwa, jadi saya letak bunga itu dekat kubur dia," katanya.Tambahnya, isterinya mengalami strok dan dirawat di hospital dalam tempoh masa agak lama sebelum meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.Dalam pada itu, kongsinya, walaupun menetap di Shah Alam, dia memilih untuk mengebumikan isterinya di Gombak bagi memudahkan keluarga mentua datang menziarah."Ramai tanya kenapa tak kebumikan dekat Shah Alam, tapi masa itu saya fikir nak mudahkan keluarga arwah terutama mak mentua saya datang ziarah."Isteri saya dulu tinggal di Taman Maluri, jadi saya fikir lebih mudah kalau keluarga dia nak datang ziarah. Saya pun memang selalu ke Kuala Lumpur sebab bekerja di sana, jadi tak ada masalah untuk saya ulang-alik," katanya.Menurut pengurus akaun di sebuah syarikat itu, dia tidak menyangka rutin itu menjadi perhatian ramai selepas seorang individu yang sering melihatnya di tanah perkuburan meminta izin untuk menemu bualnya."Saya tak sangka benda ini jadi viral sebab bagi saya, saya cuma pergi kubur macam biasa. Bila orang tengok saya setiap hari di situ, mereka mula tertanya-tanya kenapa saya buat macam tu," katanya.Bagaimanapun, jelas Azreein, dia juga berharap orang ramai tidak salah faham dan menganggap apa yang dilakukan sekadar kandungan media sosial."Saya bukan tak move on atau sengaja buat content. Saya cuma melepaskan rindu dan mendoakan arwah isteri. Video yang viral itu pun hasil temu bual orang lain. Saya cuma kongsi rutin harian saya di media sosial."Kalau tengok Instagram dan Facebook saya memang dah lama penuh dengan gambar kubur dan bunga. Cuma sebelum ni tak ada siapa perasan," ujarnya.
Go to News Site