Sinar Harian
KUALA LUMPUR - UMNO akan menilai secara adil peranan pemimpin yang kembali menyertai parti itu, dengan sebarang keputusan termasuk peluang untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan ditentukan berdasarkan faktor kebolehmenangan.Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini belum ada penilaian empirikal dilakukan terhadap impak kemasukan semula pemimpin berkenaan menerusi Gagasan Rumah Bangsa."Jadi kita harus berlaku adil kepada mereka untuk memperlihatkan komitmen mereka bagi memberikan sumbangan terus kepada UMNO," katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun UMNO ke-80 baru-baru ini.Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, peluang untuk bertanding dalam PRU16 amat bergantung kepada keupayaan calon untuk menang di sesuatu kawasan, sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.Pada 18 April, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli peringkat Bahagian serta Cawangan dari seluruh negara yang diterima kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa.Gagasan Rumah Bangsa ialah inisiatif penyatuan semula UMNO yang diperkenalkan Ahmad Zahid untuk menyatukan orang Melayu dan menerima kembali bekas ahli menyertai parti tersebut.Diperkenalkan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas, inisiatif itu berfungsi sebagai platform terbuka bagi memudahkan pendaftaran keahlian termasuk melalui permohonan dalam talian tanpa proses yang rumit.Ditanya jika inisiatif itu menggambarkan UMNO semakin sukar menjadi wadah penyatuan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan asas perjuangan parti itu kekal utuh sebagai teras dalam landskap politik Melayu-Islam negara."Ia tidak bermaksud begitu kerana DNA mana-mana kepimpinan parti Melayu-Islam yang ada datang daripada UMNO. Kita lihat parti-parti yang wujud sekarang ini serpihan UMNO."…dan tidak perlu kita berbeza pendapat untuk siapa yang lebih Melayu, siapa yang lebih Islam… yang penting ialah rakyat harus disantuni dan dibantu," katanya.Ahmad Zahid berkata, pendekatan semasa juga menuntut semua pihak melihat agenda nasional dengan lebih luas termasuk dalam aspek pendidikan dan ekonomi tanpa terlalu terikat kepada kepentingan parti semata-mata."Ini harus dilihat dengan rasional, bukan hanya pandangan yang sempit daripada pemimpin tertentu yang berfikiran masih terlalu sempit," katanya.Berhubung status hubungan MIC dalam BN, Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan kedudukan parti itu kekal bersama-sama gabungan berkenaan dengan isu berkaitan perkara tersebut telah diselesaikan. - Bernama
Go to News Site