Sinar Harian
KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang berpandangan suara yang dizahirkan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dalam titah istiadat pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat bukanlah bersifat politik kepartian.Ketua Pemudanya, Zulfadli Zakariah berkata, ia lahir daripada rasa tanggungjawab dan amanah baginda sebagai payung negeri yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang politik."Kita menjunjung kasih dan menyatakan sokongan penuh terhadap titah Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Pahang yang menyentuh keputusan Kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak berpihak kepada kepentingan negeri dan rakyatnya."Titah baginda jelas memperlihatkan keprihatinan institusi diraja terhadap masa depan negeri, kebajikan rakyat serta hak Pahang yang sewajarnya diberikan perhatian adil oleh Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Zulfadli menjelaskan, dalam keadaan rakyat sedang berhadapan dengan tekanan ekonomi, isu pembangunan tidak seimbang serta keperluan infrastruktur yang semakin mendesak.Justeru, katanya sebarang keputusan di peringkat Pusat yang boleh menjejaskan hak negeri sewajarnya dinilai semula."Pahang merupakan negeri yang mempunyai sumbangan besar kepada ekonomi negara melalui hasil bumi, sumber asli, pelaburan dan sektor strategik."Maka, adalah tidak wajar jika kepentingan negeri ini diketepikan atau tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam pertimbangan dasar Kerajaan Persekutuan," tegas beliau.Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pimpinan kerajaan Pahang supaya mengambil serius titah yang dizahirkan oleh Tengku Mahkota Pahang serta mengutamakan semangat federalisme yang adil demi kesejahteraan rakyat."Kita juga menyeru seluruh rakyat agar terus mempertahankan institusi diraja sebagai payung perpaduan dan suara semak imbang demi memastikan hak negeri serta kebajikan rakyat sentiasa terbela."Raja dan rakyat berpisah tiada," jelasnya.
Go to News Site