Sinar Harian
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menetapkan syarat baharu terhadap pengimportan kenderaan elektrik (EV) dipasang sepenuhnya di luar negara (CBU) didakwa dibuat secara kelam-kabut sehingga dikhuatiri memberi kesan kepada rakyat, selain berisiko menjejaskan keyakinan pelabur terhadap pasaran automatif negara.Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan dilihat masih belum membuat keputusan jelas sama ada benar-benar mahu mempercepatkan penggunaan EV atau sekadar menjaga industri tertentu sehingga pengguna sendiri menjadi mangsa.Menurut beliau, polisi baharu yang menyukarkan EV import masuk ke Malaysia juga tidak sepatutnya dilihat hanya melibatkan BYD semata-mata kerana isu sebenar jauh lebih besar daripada satu jenama China."Walaupun tidak disebut dengan nyata dan terang, tetapi boleh difahami bahawa kerajaan sebenarnya seolah-olah mengharapkan pengeluar EV dunia beralih kepada pemasangan tempatan (CKD) kalau mahu terus bersaing dalam pasaran Malaysia."Kita kena berpijak di bumi nyata. Market Malaysia relatif kecil untuk menarik pelaburan EV berskala besar jika dibandingkan dengan Indonesia, Thailand atau China," katanya menerusi hantaran Facebook pada Sabtu.Pada Rabu lepas, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dilaporkan menetapkan semua pengimportan kenderaan EV CBU tertakluk kepada dua syarat utama termasuk had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas mulai 1 Julai 2026.Syarat lain adalah nilai kos, insurans dan pengangkutan minimum sebanyak RM200,000.Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, jumlah jualan kenderaan Malaysia setahun sekitar 700,000 hingga 800,000 unit sahaja melibatkan semua segmen termasuklah petrol, hibrid dan EV.Menurutnya, Indonesia dan Thailand lebih ke hadapan dalam menarik pelaburan automotif kerana memiliki pasaran lebih besar serta ekosistem industri lebih matang."Hendak dibandingkan dengan Indonesia, Thailand atau China memang jauh bezanya. Sebab itu negara seperti Indonesia berjaya menarik pelaburan EV besar besaran. Mereka ada pasaran domestik lebih 280 juta rakyat."Thailand pula sudah lama menjadi hub automotif ASEAN dengan ekosistem vendor matang dan kapasiti eksport besar. Malaysia pula kadang kadang bercakap macam kita ini pasaran sebesar China," ujarnya lagi.Beliau berpandangan, pelabur global tidak membuat keputusan berdasarkan semangat patriotik, sebaliknya mereka melihat kepada saiz pasaran, kestabilan politik, kos operasi dan potensi eksport."Kerajaan mungkin tidak mewajibkan semua jenama EV membuka kilang di Malaysia secara rasmi. Tetapi syarat baru seperti nilai minimum CIF RM200,000 dan kuasa minimum 180kW secara praktikal memberi tekanan ekonomi supaya pengeluar beralih kepada CKD jika mahu terus bersaing dalam segmen harga mampu milik," kongsinya lagi.Beliau turut mendakwa polisi kerajaan yang sering berubah-ubah menyebabkan pelabur berdepan ketidakpastian, selain menjejaskan keyakinan syarikat global untuk membuat pelaburan besar di negara ini.Menurutnya, jika persaingan dalam pasaran automotif semakin berkurangan, harga kereta akan terus kekal mahal dan rakyat terpaksa menanggung kos lebih tinggi berbanding negara lain."Ia termasuklah selepas mengambil kira cukai dan perlindungan pasaran. Dan golongan B40 pula terus ‘dipaksa secara halus’ menggunakan kereta tempatan tanpa banyak pilihan lain dalam kategori mampu milik," katanya.Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menyarankan kerajaan memberi fokus kepada usaha menjadikan Malaysia lebih menarik untuk pelaburan teknologi tinggi melalui polisi konsisten, cukai kompetitif, birokrasi pantas dan vendor tempatan berkualiti."Sebab itu, janganlah umum polisi menyusahkan rakyat dengan mengejut. Kelam kabut sangatlah cara pentadbiran kerajaan sekarang ini," tambahnya lagi.
Go to News Site