Sinar Harian
JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bakal menerima 6,000 pasang pakaian tahan api baharu menjelang Ogos ini sebagai usaha memperkukuh kesiapsiagaan anggota bomba di seluruh negara.Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perolehan itu adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan Persekutuan berjumlah RM437.2 juta bagi memperkasa aset, logistik dan kebajikan warga JBPM.Beliau berkata, selain pakaian keselamatan, kerajaan turut meluluskan pembekalan 14 aset jentera bahan berbahaya (hazmat dan CBRNe) serta kerja naik taraf kuarters dan baik pulih balai bomba di seluruh negara."Semua perolehan kini di peringkat akhir tender dan akan diserahkan secara berperingkat. Kesiapsiagaan bomba mesti berada pada tahap terbaik tanpa kompromi," katanya pada Majlis Perasmian Karnival Hari Anggota Bomba Sedunia 2026 di sini pada Sabtu.Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi kejayaan JBPM membiakkan anjing Unit Pengesan (K9) tempatan pertama di Pusat Latihan Operasi K9 Bertam, Pulau Pinang.Anak anjing baka Labrador yang dinamakan "Brave" itu dilahirkan pada 5 April lalu, hasil induk Lottie, sekali gus mencatat sejarah baharu buat unit berkenaan.Menurutnya, kejayaan itu mampu menjimatkan kos pembelian anjing K9 dari luar negara yang sebelum ini mencecah sehingga RM150,000 seekor, selain membuka peluang Malaysia untuk membangunkan baka sendiri pada masa depan.JBPM ketika ini memiliki 34 ekor anjing K9, namun masih memerlukan tambahan kira-kira 56 ekor bagi mencapai tahap operasi optimum.
Go to News Site