Sinar Harian
GEORGE TOWN – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat dan menggantung beberapa Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu didakwa mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan akar umbi.Ia berikutan timbul dakwaan wujud unsur percaturan politik dan layanan berbeza dalam tindakan disiplin yang dikenakan.Bekas Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, pemecatan membabitkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Abdul Razak Khamis serta Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani dilihat bukan sekadar berkaitan isu disiplin parti semata-mata.Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia berlaku selepas cadangan Presiden Bersatu untuk melucutkan jawatan kedua-dua pemimpin berkenaan atas alasan 'tidak perform' tidak dipersetujui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor."Bila cadangan tidak dipersetujui, maka jalan paling mudah ialah memecat mereka daripada parti?"Dan jika itu berlaku, maka laluan untuk menggantikan jawatan Timbalan Speaker kepada ADUN Kota Seputih serta portfolio Exco kepada ADUN Baling akan terbuka luas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Beliau turut mempersoalkan tindakan terhadap kebanyakan Ahli Parlimen Bersatu yang hanya digantung keahlian dan bukannya dipecat daripada parti.Khaliq yang juga bekas ADUN Bertam berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada kepimpinan parti bimbang pemecatan Ahli Parlimen akan memberi kesan kepada jumlah kerusi Bersatu di Parlimen."Adakah wujud ‘double standard’ dalam tindakan Lembaga Disiplin?"Yang dipecat kebanyakannya di peringkat negeri dan yang digantung pula majoritinya Ahli Parlimen. Kalau benar atas alasan disiplin, kenapa hukumannya berbeza?" katanya.Beliau yang juga bekas Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu menambah, perkembangan tersebut sebenarnya sudah lama dijangka oleh beberapa pihak dalam parti.Katanya, individu yang dipecat juga tidak terkejut dengan tindakan tersebut kerana mereka dikatakan sememangnya bercadang meninggalkan Bersatu."Kalau tidak dipecat sekalipun, mereka tetap akan meninggalkan Bersatu. Cuma masa yang menentukan."‘Rumah baru’ dikatakan sudah siap, ahli-ahli pula semakin ramai bersiap sedia, hanya menunggu masa untuk bergerak," katanya.Tambah beliau, tindakan pemecatan itu dilihat sebagai usaha mengawal keadaan sebelum berlaku gelombang perpindahan ahli yang lebih besar."Rakyat dan akar umbi sedang memerhati."Jangan sampai tindakan yang kononnya mahu mengukuhkan parti akhirnya dilihat sebagai usaha menyusun semula kedudukan untuk kelompok tertentu sahaja," katanya.Beliau turut mendakwa rakyat kini semakin sedar terhadap keadaan semasa Bersatu yang menurutnya semakin lemah meskipun parti itu terus melaungkan kekuatan mereka.Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat dua ADUN daripada parti itu, manakala tujuh lagi wakil rakyatnya digantung keahlian selama dua penggal pemilihan, berkuat kuasa serta-merta.Setakat jam 8.30 malam Jumaat, dua ADUN yang dipecat ialah wakil rakyat di Kedah membabitkan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang) yang merupakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah serta Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) yang juga Ketua BERSATU Bahagian Alor Setar.Tujuh wakil rakyat yang digantung keahlian pula termasuk lima Ahli Parlimen, iaitu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Khalib Abdullah (Rompin), Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).Dua lagi digantung ialah ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang juga Ketua Armada Bahagian Padang Rengas, dan ADUN Kuala Sepetang, Ahmad Man.Selain itu, Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmad yang merupakan Naib Ketua Armada Nasional, turut dipecat keahlian berkuat kuasa Jumaat.Ends.
Go to News Site