Collector
Tanpa data jelas, sukar rancang pendidikan bumiputera - Pakar Pendidikan | Collector
Tanpa data jelas, sukar rancang pendidikan bumiputera - Pakar Pendidikan
Sinar Harian

Tanpa data jelas, sukar rancang pendidikan bumiputera - Pakar Pendidikan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu berani mendedahkan data pendidikan bumiputera secara telus supaya dasar pendidikan negara dapat dibina berdasarkan realiti sebenar sekiranya benar-benar ingin memperkasa pendidikan golongan majoriti rakyat negara ini.Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, tanpa data sebenar yang diperincikan, negara sukar memahami cabaran sebenar dihadapi kelompok majoriti rakyat, sekali gus menyukarkan perancangan pendidikan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan."Bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi supaya dasar dapat dibina berdasarkan keadaan sebenar, bukan sekadar naratif politik."Kerana tanpa data yang jelas, akhirnya kita hanya seronok bercakap tentang kejayaan, tetapi tidak benar-benar memahami siapa sebenarnya yang masih tertinggal di belakang," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM) itu mendesak perubahan dilakukan dengan merujuk pendedahan Prof Emeritus Datuk Dr Asma Ismail berhubung kajian Bank Dunia yang mendapati 42 peratus kanak-kanak Malaysia masih berada dalam kemiskinan pembelajaran.Tambah beliau, bumiputera merangkumi lebih 70 peratus penduduk negara termasuk orang Melayu, masyarakat Orang Asli dan penduduk Sabah serta Sarawak, namun laporan pendidikan dibentangkan kerajaan lebih banyak memaparkan angka umum nasional."Kadar keciciran nasional, pencapaian PISA nasional, literasi nasional, enrolmen nasional. Semua nasional. Tetapi bagaimana keadaan sebenar pendidikan bumiputera?," ujarnya lagi.Beliau turut mempersoalkan jumlah murid Bumiputera yang masih gagal menguasai membaca dan menulis pada usia 10 tahun selain jumlah murid bumiputera yang gagal Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun.Selain itu, katanya, persoalan mengenai peratusan anak bumiputera yang tercicir daripada aliran Sains serta jumlah pelajar bumiputera memasuki Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana minat atau akibat tercicir akademik juga jarang dibincangkan secara terbuka.Menurut beliau, majoriti murid di sekolah kebangsaan ialah bumiputera dan sekiranya sistem pendidikan negara bermasalah, kelompok paling besar menerima kesannya juga ialah bumiputera sendiri."Persoalannya, berapa ramai daripada angka itu ialah anak bumiputera? Jika data ini tidak diperincikan, bagaimana negara mahu merancang penyelesaian pendidikan bumiputera secara tepat?" katanya.Katanya, negara tidak boleh terus berbangga dengan angka umum pendidikan sedangkan masalah sebenar mungkin sedang membesar dalam diam."Reformasi pendidikan bukan sekadar bina sekolah baharu atau umum pelan baharu setiap 10 tahun. Reformasi sebenar bermula dengan keberanian melihat data secara jujur," tegasnya.

Go to News Site