Collector
Banci Ekonomi 2026 jadi ‘kompas’ baharu ekonomi negara | Collector
Banci Ekonomi 2026 jadi ‘kompas’ baharu ekonomi negara
Sinar Harian

Banci Ekonomi 2026 jadi ‘kompas’ baharu ekonomi negara

JELI – Banci Ekonomi (BE) 2026 bakal menjadi rujukan paling penting negara dalam menentukan hala tuju baharu ekonomi Malaysia.Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, BE 2026 yang sudah memasuki fasa kedua akan menilai semula asas pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks perindustrian dan indeks jualan negara."Dapatan banci berkenaan akan menjadi instrumen utama kerajaan dalam mengukur kekuatan sebenar ekonomi Malaysia termasuk pencapaian sasaran di bawah kerangka Ekonomi Madani," katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.Sebelum itu, beliau hadir pada Program ‘Run, Breathe, Nature’ yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil di Padang Istiadat di sini, dan turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Jeli, Wan Fahazil Wan Mohamad Jaffar.Menurut beliau, BE 2026 akan menjadi angka garis dasar untuk menilai semula tahun asas KDNK, indeks perindustrian, indeks jualan dan sebagainya.Katanya, daripada data itu, kerajaan boleh melihat kedudukan semasa ekonomi negara dan mengukur pencapaian sasaran untuk berada dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia.Mohd Uzir berkata, banci berskala besar yang melibatkan kira-kira 1.35 juta pertubuhan perniagaan di seluruh negara itu akan membentuk garis dasar baharu kepada data ekonomi negara.Tambahnya, setakat ini lebih 500,000 pertubuhan berjaya diliputi menerusi fasa pertama banci yang memfokuskan sektor tidak formal dan perusahaan kecil termasuk penjaja, inap desa dan perniagaan mikro.Katanya lagi, pelaksanaan kini memasuki fasa kedua dengan tumpuan diberikan kepada syarikat berskala sederhana dan besar melibatkan sektor strategik seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan."Di Kelantan sahaja terdapat kira-kira 60,000 pertubuhan perniagaan yang terlibat daripada keseluruhan 1.35 juta pertubuhan di seluruh negara," katanya.Menurut Mohd Uzir, data operasi awal banci dijangka diterbitkan pada hujung tahun ini manakala laporan lengkap yang melalui proses silang dan pengesahan akan dikeluarkan seawal tahun hadapan termasuk data mengikut daerah.Ujar beliau, banci tersebut juga akan membantu kerajaan mengenal pasti tahap penggunaan digital, kebergantungan kepada bahan mentah import serta penglibatan tenaga kerja mahir dalam sektor ekonomi."Kerajaan menyasarkan penyertaan buruh mahir sebanyak 35 peratus dan semua ini boleh diukur melalui data yang dikumpulkan menerusi banci ini," katanya.Tambah beliau, maklumat berkenaan bukan sahaja penting kepada kerajaan dan kementerian, malah boleh dimanfaatkan masyarakat umum serta usahawan sebagai panduan sebelum memulakan perniagaan."Kalau mahu membuka kedai dobi atau bengkel misalnya, mereka boleh melihat struktur kos, kadar gaji dan jurang upah dalam sektor berkaitan untuk dijadikan penanda aras," katanya.

Go to News Site