Collector
Eksport pasir sungai: Titah Tengku Mahkota Pahang sepatutnya buka mata Putrajaya cari solusi banjir | Collector
Eksport pasir sungai: Titah Tengku Mahkota Pahang sepatutnya buka mata Putrajaya cari solusi banjir
Sinar Harian

Eksport pasir sungai: Titah Tengku Mahkota Pahang sepatutnya buka mata Putrajaya cari solusi banjir

SHAH ALAM – Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung cadangan meluluskan eksport pasir sungai di Pahang dilihat bukan sekadar menyentuh soal hasil negeri, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai keperluan mendesak menangani isu banjir dan pengurusan sungai secara mampan.Ketua Pegawai Perhubungan Awam Malaysian Humanitarian Organization (MHO), Daniel Khoo berkata, pandangan dizahirkan Tengku Hassanal Ibrahim itu wajar diperhalusi kerajaan Persekutuan kerana Pahang memiliki sistem sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang memerlukan penyelenggaraan berterusan.Menurutnya, mendapan pasir yang tidak diurus secara sistematik boleh menyebabkan sungai menjadi semakin cetek sekali gus meningkatkan risiko limpahan air ketika musim tengkujuh."Apabila berlaku mendapan pasir yang tinggi, aliran sungai boleh menjadi semakin cetek dan keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko banjir terutama ketika musim hujan."Sebab itu titah Tengku Mahkota Pahang ini wajar diperhalusi kerana ia dilihat demi kepentingan rakyat khususnya warga Pahang yang saban tahun berdepan ancaman banjir," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Khoo yang juga aktivis alam sekitar berkata, kerja pengorekan pasir secara terkawal bukan sahaja membantu melancarkan aliran sungai, malah mampu menjana hasil ekonomi kepada negeri dan negara.Menurutnya, pengurusan mendapan pasir secara sistematik turut memberi kesan positif kepada sektor logistik, pengangkutan dan pembinaan selain membuka peluang ekonomi kepada syarikat tempatan."Sudah tentu semua pihak mahu melihat penyelesaian jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negeri."Apa yang penting ialah pelaksanaan dilakukan secara terkawal, telus serta mematuhi aspek alam sekitar," katanya.Khoo berpandangan, cadangan tersebut perlu dinilai secara menyeluruh kerana isu eksport pasir sungai bukan hanya berkait ekonomi negeri semata-mata, sebaliknya melibatkan pengurusan sungai dan usaha mitigasi banjir yang semakin kritikal.Terdahulu, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilaporkan melahirkan rasa kecewa apabila usaha kerajaan negeri Pahang untuk menambah hasil menerusi eksport pasir sungai masih belum mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.Perkembangan itu sekali gus mencetuskan persoalan sama ada isu birokrasi dan kelulusan pusat terus menjadi penghalang kepada usaha negeri mencari sumber baharu hasil ekonomi serta penyelesaian jangka panjang terhadap masalah banjir yang berulang setiap tahun.

Go to News Site