Sinar Harian
SUNGAI PETANI - Sektor penternakan akuakultur dilihat berpotensi menampung bekalan ikan negara sekiranya tangkapan laut terjejas berikutan kenaikan kos diesel susulan konflik di Asia Barat.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan khususnya kepada nelayan yang menanggung kos operasi tinggi untuk ke laut sekali gus berkemungkinan mengurangkan aktiviti penangkapan ikan."Kalau berlaku kekurangan tangkapan ikan di laut akibat kenaikan harga diesel, kita harap ikan akuakultur dapat menampung kekurangan itu."Konflik di Asia Barat, kita tidak tahu bila akan tamat. Jika berterusan, harga petrol dan diesel akan terus tinggi...boleh memberi kesan kepada mereka yang terlibat dalam tangkapan ikan di laut," katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke projek ternakan ikan susu milik Usaha Fadzilat (M) Sdn Bhd di Batu Lintang di sini pada Sabtu.Menurutnya, syarikat berkenaan mengusahakan ternakan ikan susu di kawasan seluas lebih kurang 80 hektar melibatkan 31 kolam dengan pengeluaran kira-kira 3,000 tan metrik setahun."Selain ternakan di sini, terdapat juga ikan sangkar di Batu Kawan, Pulau Pinang, Johor, Selangor dan Tumpat, Kelantan."Kita harap usaha ternakan ikan dapat dipergiatkan lagi bagi menampung kemungkinan kekurangan ikan tangkapan laut," katanya.
Go to News Site