Sinar Harian
BESUT – Seorang penunggang motosikal maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum digilis sebuah treler dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu, berhampiran Kampung Gerai di sini pada Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Faris Harun, 33, yang menunggang motosikal jenis Demak EVO disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan bermula apabila sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berhenti di simpang tiga untuk membelok ke kanan."Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dari arah belakang dipercayai telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta berkenaan."Impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah treler kontena jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah hadapan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.Mohd Rozaime berkata, pemandu kereta dan pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan."Mayat mangsa yang beralamat di Kampung Telaga Nibong, Jerteh dihantar ke Hospital Besut untuk proses bedah siasat dan hasil laporan mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan parah pada kepala akibat kemalangan jalan raya," katanya.Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Dalam pada itu, katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati."Pastikan jarak selamat antara kenderaan sentiasa dijaga bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang," ujarnya.
Go to News Site