Sinar Harian
SHAH ALAM – Tatkala orang lain sedang tidur, sekumpulan petugas kesihatan gigih memanjat tangga hospital demi melengkapkan sasaran 10,000 langkah sehari.Menerusi perkongsian video di TikTok oleh pengguna @farahli0 pada Khamis, dia memaparkan gelagat rakan-rakan setugasnya yang berhempas pulas berlari menaiki dan menuruni tangga meskipun jam menunjukkan hampir jam 12 tengah malam.Menurutnya, aktiviti itu dibuat bagi menyahut cabaran kesihatan yang dipantau melalui aplikasi BookDoc, yang mana setiap ahli kumpulan mesti menyumbang jumlah langkah harian masing-masing."Gigih demi 10,000 langkah, dah dekat-dekat jam 12 malam baru nak kejar step (langkah). Siang tadi santai je," katanya.Ketika ditanya pengguna TikTok lain di ruangan komen mengenai beban kerja doktor yang lazimnya sibuk bergerak sepanjang hari, wanita itu menjelaskan, tugas sebagai ‘geng dewan bedah’ lebih banyak berdiri dalam tempoh lama berbanding berjalan."Kalau kami geng dewan bedah, satu syif dapat sekitar 6,000 atau 7,000 langkah sahaja."Kami lebih banyak berdiri sepanjang syif, jadi balik kerja kena ‘top-up’ pergi berjoging di taman pula," ujarnya.Rata-rata pengguna TikTok turut berseloroh dengan menyifatkan semangat itu timbul kerana tidak mahu kalah dalam kedudukan kumpulan dalam aplikasi tersebut.Tidak wajib untuk melengkapkan sasaran dalam aplikasi berkenaan namun bagi sesiapa yang sudah mendaftar secara berkumpulan, bertanggungjawab memenuhi kuota 10,000 langkah sehari.Difahamkan, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menganjurkan 'Cabaran Langkah Sihat Antara Jabatan Kesihatan Negeri' selama 90 hari bermula 27 April hingga 25 Julai depan.Petugas kesihatan yang mendaftar digalak melengkapkan 10,000 langkah sehari yang membawa kepada kemenangan di jabatan masing-masing.Ia bagi menjayakan inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (iPASS) ke arah pembudayaan hidup sihat.
Go to News Site