Sinar Harian
IPOH - Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya menggantung keahlian beberapa pemimpin parti kerana melanggar disiplin parti, bukan memecat, didakwa sebagai langkah menutup kelemahan kepimpinan parti itu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin yang digantung keahliannya mendakwa, keputusan lembaga disiplin itu dibuat tanpa proses yang terbuka, adil, dan telus.Menurutnya, biarpun menerima keputusan itu dengan tenang, rakyat dan akar umbi Bersatu berhak mengetahui punca sebenar mengapa semakin ramai pemimpin yang digantung dan dipecat."Persoalannya mudah, jika benar saya melakukan kesalahan besar mengapa hanya digantung, mengapa tidak dipecat terus?"Tindakan separuh jalan ini jelas memperlihatkan kepimpinan parti sendiri berada dalam keadaan tertekan, tidak yakin dan semakin bercelaru dalam mengurus parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Syed Lukman Hakim berkata, krisis yang berlaku ketika ini berpunca daripada sikap kepimpinan tertinggi parti yang dilihat semakin obses untuk terus kekal berkuasa dan terlalu tertumpu kepada cita-cita politik peribadi berbanding kestabilan parti.Menurutnya, ramai ahli parti mempersoalkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih dilihat mahu terus mengangkat dirinya sebagai calon utama Perdana Menteri sedangkan realiti politik semasa memerlukan pendekatan baharu yang lebih sederhana, terbuka dan berpijak di bumi nyata.Katanya, sikap kepimpinan yang dilihat terlalu mempertahankan kedudukan sendiri itu menjadi penyebab tercetusnya rasa tidak puas hati di pelbagai peringkat dalam parti.Jelasnya, banyak persoalan turut dibangkitkan oleh akar umbi berkaitan perjalanan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), proses pemilihan parti dan cara pengurusan dalaman parti yang didakwa tidak lagi mencerminkan semangat demokrasi sebenar.Beliau berkata, tindakan disiplin dalam parti yang bersifat terpilih dan tidak konsisten juga menyebabkan ahli akar umbi kurang senang dengan kepimpinan."Bersatu kononnya berani dan tegas, tetapi hakikatnya hanya pandai bercakap. Jika benar saya bersalah dan sekiranya Bersatu ada maruah, saya cabar Bersatu pecat sahaja saya terus, bukan sekadar gantung demi menutup kelemahan kepimpinan sendiri."Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak takut dengan penggantungan ini. Jawatan boleh diambil, keahlian boleh digantung, tetapi suara kebenaran tidak boleh dibungkam selama-lamanya," katanya.Syed Lukman Hakim berkata, Bersatu kini sudah tidak lagi mendengar suara ahli dan menghukum sesiapa sahaja yang berani menegur kepimpinan.Kata bekas Ketua Armada Bersatu Perak itu, beliau juga akan terus bersama rakyat dan akar umbi yang mahukan perubahan serta pembaharuan sebenar dalam politik negara.Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan setakat jam 7 malam, Jumaat, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti itu.Empat lagi pemimpin yang digantung keahlian selama dua penggal pemilihan parti ialah Syed Lukman Hakim; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.
Go to News Site