Collector
Peniaga rugi RM86,735 angkara 'Cikgu Faizal' | Collector
Peniaga rugi RM86,735 angkara 'Cikgu Faizal'
Sinar Harian

Peniaga rugi RM86,735 angkara 'Cikgu Faizal'

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga berusia 54 tahun berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM86,735 lesap selepas terperdaya dengan taktik licik seorang lelaki yang menyamar sebagai guru dari sebuah sekolah di Marang.​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Cikgu Faizal' dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa semasa berada di kedainya di sini pada 30 April lalu.​Menurutnya, suspek berpura-pura mahu berbincang mengenai pembekalan mozek dan menyatakan hasrat untuk membuat tempahan 45 set meja serta kerusi kantin dengan nilai keseluruhan RM122,450.​"Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa untuk berurusan dengan seorang individu kononnya pembekal bernama 'Kevin' bagi tujuan rundingan penyediaan set perabot tersebut.​"Terpancing dengan tawaran tender berkenaan, mangsa telah melakukan dua transaksi pembayaran deposit berjumlah keseluruhan RM86,735 ke satu akaun bank atas nama syarikat pembinaan pada 6 dan 7 Mei lalu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.​Azli berkata, mangsa yang mula berasa curiga kemudiannya hadir ke SMK Bukit Sawa pada Sabtu lalu bagi mendapatkan pengesahan lanjut.​"Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila pihak sekolah memaklumkan tiada sebarang urusan pembelian atau penghantaran barang dilakukan, malah dokumen yang diterima mangsa adalah palsu.​"Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," jelasnya.​Beliau berkata, siasatan awal mendapati wang kerugian itu adalah hasil simpanan peribadi mangsa dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.​"Orang ramai khususnya para peniaga dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan melakukan semakan terperinci dengan pihak pengurusan sekolah atau jabatan berkaitan sebelum bersetuju dengan sebarang tawaran tender bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," ujarnya.

Go to News Site