Collector
Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika potong wayar - Polis | Collector
Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika potong wayar - Polis
Sinar Harian

Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika potong wayar - Polis

KOTA KINABALU - Lelaki yang ditemukan maut di atas bumbung sebuah restoran di Karambunai, pada Sabtu dipercayai cuba memotong wayar elektrik.Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan menerima laporan mengenai penemuan lelaki tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi bersama wakil Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Sabah Electricity Sdn Bhd bagi memastikan keselamatan dan tindakan lanjut."Pegawai perubatan kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira jam 3.02 petang. "Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa dipercayai cuba memotong wayar elektrik yang berada di atas bumbung restoran sebelum terkena renjatan. "Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan terbakar dan melecur pada bahagian jari kanan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, setakat ini, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)."Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut," katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di belakang sebuah rumah di Taman Iramanis di sini kira-kira jam 5.30 petang, Sabtu."Pengadu yang dimaklumkan jiran, bergegas pulang dan mendapati lelaki itu terbaring di belakang pintu dapur rumah sebelum menghubungi pihak ambulans dan polis."Hasil pemeriksaan pasukan perubatan mendapati lelaki tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6.34 petang," katanya. Syed Lot berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kematian mangsa."Mayat dibawa ke Unit Forensik HQEI untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai SDR," katanya.

Go to News Site