Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu penghinaan terhadap agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu perlu ditangani secara tegas, adil dan berhikmah bagi memastikan maruah agama, institusi negara serta keharmonian nasional terus terpelihara.Beliau berkata, keresahan masyarakat Melayu ketika ini semakin mendalam apabila kesucian Islam dan kewibawaan institusi Raja-Raja Melayu berulang kali disentuh secara terbuka menerusi pelbagai isu yang mencetuskan sensitiviti rakyat.Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara isu yang menimbulkan kegusaran ialah penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka yang memperlekehkan halal, bantahan terhadap laungan azan serta tindakan menghina institusi Raja-Raja Melayu."Islam ialah agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu ialah payung kedaulatan negara, maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil," katanya ketika berucap pada Musyawarah Nasional bertemakan "Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya" di sini pada Ahad.Pengasas Musyawarah Nasional itu berkata, kebebasan bersuara perlu terus dihormati, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina agama, memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu atau merosakkan asas keharmonian negara. - Bernama
Go to News Site