Sinar Harian
MAKKAH – Langkahnya perlahan, tubuhnya sedikit bongkok, namun semangat warga emas ini tetap gagah mengatur perjalanan menuju Baitullah. Namun setiap hayunan kaki menuju ke Masjidil Haram menjadi perjalanan penuh sentimental, sarat rasa syukur yang mendalam.Bagi Mohd Daud Hamdan, 72, atau mesra disapa pak cik Daud, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci pada tahun 2026 disifatkan sebagai satu penghargaan di saat akhir daripada Yang Maha Esa."Alhamdulillah, umur dah 72. Apabila dapat pergi last minute macam ni, tak tahulah dua tiga hari lagi ALLAH tarik nyawa," katanya dalam nada sebak, menggambarkan betapa beliau menghargai setiap detik di bumi barakah itu.Anak kelahiran Kampung Rim, Jasin, Melaka itu berkata, meskipun kudratnya tidak lagi kuat, beliau tetap menggagahkan diri berjalan ke Masjidil Haram demi menyempurnakan ibadah."Nak kata kuat tak kuatlah, tapi kita sentimental punya jalanlah, ambil apa peluang untuk ibadah," ujarnya.Simpanan kecil, penantian panjangKisah Daud bukan sekadar mengenai keberangkatan, tetapi juga perjalanan panjang penuh kesabaran. Beliau mula menabung seawal 1972 selepas menamatkan pengajian Senior Cambridge pada 1971, ketika bekerja di sebuah kilang dengan simpanan sekitar RM30 sebulan.Namun, kemelesetan ekonomi pada 1978 menyaksikan beliau diberhentikan kerja sebelum menyertai sektor kerajaan pada tahun sama.Sepanjang berkhidmat di Sabah, beliau meneruskan simpanan di Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) secara konsisten walaupun jumlahnya kecil.Kesibukan tugas dan kurang pendedahan menyebabkan beliau terlepas pandang untuk mendaftar haji lebih awal. Beliau kemudian mendaftar sekitar tahun 2004 atau 2005 sebelum menunggu hampir 22 tahun untuk dipanggil sebagai tetamu ALLAH."Silap pak cik lah dah simpan lama tetapi sibuk kerja. Apabila dengar khutbah Jumaat di Sabah sebelum ini, terus tersentak. Pak cik menyimpan tapi tak daftar. Terkejut, terus pergi daftar. Tunggulah sampai sekarang 2026," katanya.Janji terakhir buat MaimunDi sebalik rasa syukur itu, terselit kerinduan mendalam terhadap isteri tercinta, Maimun Muhammad yang telah meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi dan asma.Lebih memilukan, Daud kini menunaikan haji seorang diri selepas lebih 30 tahun hidup bersama.Namun, beliau memastikan satu amanah penting dilunaskan."Pak cik dah selesaikan badal haji untuk arwah isteri," katanya ringkas tetapi penuh makna.Menurutnya, badal haji tersebut diuruskan menggunakan simpanan arwah isterinya sendiri melalui Tabung Haji sebagai hadiah terakhir buat insan yang setia menemaninya sepanjang hidup."Apabila dah lebih 30 tahun makan bersama, kasih sayang sukar dicari ganti," luahnya sayu.Kehidupan di Tanah Suci tanpa pasangan memerlukan beliau berdikari sepenuhnya.Bermula daripada urusan membasuh baju dan rutin harian yang lain, semuanya kini dilakukan sendiri. Namun, kehadiran rakan sebilik sedikit sebanyak menjadi penawar.Kejayaan anak jadi kekuatanWalaupun diuji dengan kehilangan, kejayaan empat orang anak menjadi sumber kekuatan buatnya.Anak sulungnya kini merupakan pengurus sebuah syarikat di Sabah, manakala seorang lagi anaknya memiliki kelulusan PhD dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah sebelum memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga.Sebagai seorang bapa, beliau bersyukur melihat anak-anak membesar dengan baik hasil pengorbanan yang dilalui sepanjang hayatnya.Doa di penghujung usiaKini, setiap langkah ke Masjidil Haram diiringi satu doa, agar ibadah hajinya diterima sebagai hadiah terindah di penghujung usia.Walaupun fizikalnya tidak lagi kuat dan langkahnya semakin perlahan, semangat pak cik Daud tetap teguh.Kisahnya menjadi bukti bahawa panggilan ke Tanah Suci bukan soal cepat atau lambat, tetapi rahsia ALLAH yang hadir tepat pada waktunya.
Go to News Site