Collector
'Satu 'kegilaan', tak pernah berlaku dalam sejarah' - MP Bersatu | Collector
'Satu 'kegilaan', tak pernah berlaku dalam sejarah' - MP Bersatu
Sinar Harian

'Satu 'kegilaan', tak pernah berlaku dalam sejarah' - MP Bersatu

KUANTAN – Tindakan disiplin secara besar-besaran yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini dianggap sebagai satu 'kegilaan' yang tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana parti politik di negara ini.Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah berkata, skala tindakan yang melibatkan pemecatan dan penggantungan dari peringkat Ahli Parlimen sehingga ke akar umbi menunjukkan perkembangan luar biasa dalam parti berkenaan."Saya menerima surat digantung sebagai ahli Bersatu dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti dengan hati terbuka kerana sudah menjangkakan tindakan itu."Kalau UMNO, parti besar yang sudah 80 tahun, boleh membuka ruang kepada perdamaian demi kebaikan parti mereka."Ia jauh berbeza dengan parti Bersatu yang berusia lapan tahun tetapi memecat begitu ramai pemimpin yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti," katanya ketika dihubungi pada Ahad.Abdul Khalib memberitahu Bersatu kini dilihat mula hilang arah dan menjauhi prinsip perjuangan asal apabila didakwa lebih tertumpu kepada pemusatan kuasa."Saya melihat terdapat kumpulan tertentu yang cuba menguasai parti dan hanya memberi gambaran positif kepada Presiden parti."Saya pula dilihat lebih condong kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin kerana yakin dengan perjuangan beliau yang berteraskan kepentingan rakyat," katanya.Mengulas penggantungan yang dikenakan terhadap beliau, Abdul Khalib menegaskan ia tidak menjejaskan komitmen untuk terus berkhidmat di kawasan Parlimen Rompin bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Nazri Ahmad."Penggantungan ini tidak melemahkan semangat saya untuk terus berjuang bersama Perikatan Nasional (PN)," katanya.Beliau turut memberi isyarat bahawa kumpulan yang terkesan akan meneruskan gerakan politik masing-masing dengan kekuatan lebih besar."Saya ingatkan kepada pemimpin Bersatu, tunggulah kebangkitan kami," ujarnya.Ditanya mengenai pelawaan menyertai Rumah Bangsa, Abdul Khalib mengakui tidak berminat untuk menyertainya.Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah meneruskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di bawah PN meskipun status keahliannya dalam parti itu terjejas."Kalau soal penyatuan Melayu, saya setuju. Saya sudah lama dalam UMNO sebelum ini dan melihat UMNO kini selesa bersama Pakatan Harapan (PH)," katanya.Pada Jumaat, Bersatu mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpinnya termasuk memecat dua ADUN dan menggantung keahlian empat lagi pemimpin parti berkuat kuasa serta-merta.Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan setakat jam 7 malam, Jumaat, ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis dipecat daripada parti itu.Selain itu, empat lagi pemimpin Bersatu digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti iaitu ADUN Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, dan Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail termasuk Abdul Khalib.

Go to News Site