Sinar Harian
ISKANDAR PUTERI - Tiga lelaki menjadi mangsa dalam kejadian tembakan di sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai di sini pada malam Sabtu.Dalam kejadian itu, seorang lelaki maut manakala dua lagi parah akibat terkena tembakan. Bagaimanapun, seorang daripada mangsa yang parah itu dipercayai menghilangkan diri selepas dibawa kenalannya dari lokasi kejadian.Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.Menurutnya, mangsa yang maut merupakan lelaki tempatan berusia 27 tahun dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan."Turut dipercayai seorang lagi mangsa mengalami kecederaan, namun masih belum dikenal pasti kerana dibawa oleh kenalannya selepas kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.M Kumarasan berkata, polis meminta mangsa ketiga tampil bagi membantu siasatan.Beliau berkata, pihak polis juga sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan 12 sebatan.Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Komisioner Afiq Izani di talian 019-3683036.Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.Terdahulu, tular beberapa foto di media sosial yang memaparkan lokasi kejadian serta seorang lelaki terbaring selepas ditembak.
Go to News Site