Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Musyawarah Nasional bukan platform untuk mencari salah atau menuding jari, sebaliknya menjadi ruang membincangkan keresahan bangsa Melayu secara matang dan beradab.Pengerusi Musyawarah Nasional, Tan Sri Abdul Ghani Othman berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan segala isu melibatkan agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dapat dirumuskan dengan baik demi masa depan bangsa dan negara.Menurut beliau, perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu."Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sampai berpecah."Kita boleh berbeza pendekatan, tetapi matlamat akhirnya mesti sama iaitu membina masa depan bangsa," katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Musyawarah Nasional ‘Keresahan Bangsa Melayu: Apakah Penyelesaiannya?’ di ibu negara pada Ahad.Program berkenaan turut menampilkan ucaptama dan rumusan penutup yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Abdul Ghani berkata, musyawarah tersebut bukan medan untuk meninggikan suara atau mencari pihak yang perlu dipersalahkan terhadap keresahan yang berlaku dalam masyarakat Melayu ketika ini.Sebaliknya, katanya, platform itu diwujudkan untuk menghimpunkan pandangan secara jujur serta membincangkan penyelesaian dengan penuh adab dan kematangan."Melayu memerlukan medan untuk kita mendengar dengan jujur, berbincang dengan adab dan merumuskan jalan ke hadapan," ujarnya.Beliau berkata, lima teras utama iaitu agama, politik, ekonomi, pendidikan dan sosial dijadikan asas utama sepanjang musyawarah berlangsung.Menurutnya, setiap pandangan, kritikan, cadangan dan keresahan perlu diberikan perhatian yang sama tanpa mengira latar belakang peserta."Kita mahu setiap pandangan mempunyai nilai yang sama."Setiap kritikan, setiap cadangan dan setiap keresahan diraikan bersama dengan penuh kematangan," katanya.Beliau berkata, Musyawarah Nasional juga tidak bermula dengan andaian bahawa semua jawapan terhadap keresahan bangsa Melayu sudah tersedia.Sebaliknya, katanya, ia menjadi ruang menghimpunkan ilmuwan, agamawan, profesional, pemimpin NGO, pimpinan masyarakat, pemain industri dan generasi muda untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.Menurut beliau, perubahan landskap politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan agama ketika ini menuntut masyarakat Melayu berfikir secara lebih matang dan terbuka.Katanya, Musyawarah Nasional itu diharap menjadi permulaan kepada gerakan pemikiran, penyatuan dan tindakan yang lebih tersusun demi agama, bangsa dan negara.
Go to News Site