Sinar Harian
PUTRAJAYA – Tayangan khas berjudul Konspirasi menjadi platform kreatif dalam memperkukuh mesej antirasuah kepada masyarakat menerusi penghasilan filem aksi tempatan yang mengangkat tema penguatkuasaan rasuah secara realistik, dramatik dan berimpak tinggi.Filem yang akan ditayangkan serentak di pawagam seluruh negara bermula 21 Mei ini turut mengetengahkan isu kebocoran maklumat siasatan membabitkan pendedahan data sulit, rahsia dan maklumat siasatan secara tidak sah kepada pihak yang tidak dibenarkan.Ini sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya pengkhianatan amanah terhadap keselamatan negara serta integriti institusi penguatkuasaan.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, filem itu diyakini mampu meningkatkan kefahaman dan keyakinan masyarakat terhadap peranan SPRM yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek penguatkuasaan, malah merangkumi usaha pencegahan serta pendidikan antirasuah kepada rakyat."Masyarakat sebelum ini mungkin hanya mengenali gerak kerja SPRM menerusi laporan berita dan paparan media, namun filem Konspirasi memberi gambaran lebih dekat mengenai liku perjuangan, ancaman, tekanan serta keteguhan prinsip pegawai SPRM dalam melaksanakan amanah demi kepentingan negara."Filem ini memberi gambaran jelas mengenai cabaran sebenar yang dihadapi pegawai penguat kuasa dalam menjalankan tanggungjawab mereka," katanya ketika menghadiri tayangan khas filem itu di sini pada Ahad.Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Junipah Wandi.Sementara itu, pengarah filem Konspirasi, Ghaz Abu Bakar berkata, filem itu diluluskan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tanpa sebarang potongan jalan cerita hingga penghujung filem.Jelasnya, Konspirasi bukan sekadar sebuah karya hiburan, sebaliknya membawa mesej dan nilai yang baik kepada masyarakat dalam memahami peranan serta tanggungjawab sebenar SPRM."Filem ini menjadi medium untuk mengetengahkan SPRM kepada masyarakat daripada sudut yang lebih dekat dan berbeza," katanya.Filem Konspirasi menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shidin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis dan Esma Daniel.
Go to News Site