Sinar Harian
ALOR SETAR – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 tetap diteruskan pada 28 Ogos hingga 6 September ini dengan pelbagai tarikan baharu dan pengisian interaktif walaupun dunia dan negara berdepan cabaran krisis bekalan global.Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran MAHA menjadi antara platform penting dalam usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara serta merancakkan sektor pertanian dan agro makanan tempatan.Menurutnya, MAHA 20206 yang dijadual berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang dijangkakan mencatatkan nilai memorandum persefahaman (MoU) perdagangan mencecah RM8 bilion sepanjang ekspo berlangsung."Walaupun dunia dan negara kita sedang berhadapan dengan krisis bekalan global, namun MAHA 2026 tetap diteruskan. Ini kerana acara MAHA termasuk dalam salah satu usaha penting kerajaan untuk menggalakkan aktiviti pertanian di negara ini."Dalam keadaan geopolitik dunia dan perubahan iklim yang semakin tidak menentu di dekad ini, maka segala usaha meningkatkan tahap keterjaminan makanan negara akan menjadi keutamaan dan tekad Kerajaan Madani," katanya ketika melancarkan Program Road to MAHA 2026 Zon Utara di Aman Central, di sini pada Sabtu.Jelas Mohamad, pelancaran Road to MAHA di Alor Setar menjadi permulaan siri jelajah promosi MAHA ke seluruh negara bagi mendekatkan acara itu kepada rakyat khususnya komuniti peladang, usahawan agro dan golongan belia.Katanya, edisi MAHA tahun lalu merekodkan lebih lima juta kehadiran dan kerajaan berharap jumlah sama dapat dicapai tahun ini."Tumpuan utama tahun ini ialah soal pemodenan pertanian. Kita mahu rakyat melihat bagaimana teknologi dan inovasi mampu membantu meningkatkan produktiviti sektor ini."Kita harap dengan pelancaran ini, rakyat akan mendapat tahu dan membuat persediaan awal untuk hadir ke MAHA 2026 di Serdang. Pempamer dari luar negara akan bersama dan menunjukkan teknologi mereka dan kita mengambil contoh dan laksanakan di negara kita," ujarnya.Beliau turut melancarkan Truck Road to MAHA 2026 yang bakal menjelajah ke seluruh negara sebagai usaha mempromosikan ekspo berkenaan lebih awal kepada masyarakat.Pada majlis sama, Mohamad turut mengumumkan pakej pinjaman modal khas kepada pesawah yang disediakan oleh Agrobank.Menurutnya, usaha berkenaan diperkenalkan oleh bank tersebut bagi memastikan pesawah tidak berdepan kekangan modal untuk memulakan kerja penanaman."Sukacita saya umumkan, pihak Agrobank ada menyediakan pakej pinjaman modal kepada pesawah dan Agrobank telah bersetuju untuk memberikan diskaun 50 peratus ke atas kadar keuntungan bagi pinjaman ini. Butiran lanjut mengenai inisiatif ini akan dikeluarkan oleh pihak Agrobank," ujarnya.
Go to News Site