Sinar Harian
KUALA LANGAT - Kegiatan curi buah kelapa sawit terbongkar selepas empat lelaki ditahan di sini Jumaat lalu.Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 6.30 petang daripada seorang lelaki tempatan mengenai kehadiran dua kenderaan mencurigakan di kawasan kebun kelapa sawit."Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati empat suspek sedang mencuri buah kelapa sawit dan memasukkannya ke dalam kenderaan terbabit."Polis kemudiannya berjaya menangkap kesemua suspek beserta rampasan barang kes," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau berkata, kesemua suspek dikenal pasti merupakan warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30-an.Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kanchong Darat dalam kenyataan di Facebook rasminya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada orang awam yang membantu menahan suspek disyaki terlibat dalam kes kecurian buah kelapa sawit di sekitar kebun penduduk kampung."Kes kehilangan hasil sawit ini telah lama berlaku dan meresahkan pekebun-pekebun di Kanchong Darat."Kerjasama dan keprihatinan orang awam amat dihargai," ujarnya.Tambahnya, JPKK menyeru semua penduduk agar terus bersatu padu menjaga keselamatan harta benda dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak JPKK atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Go to News Site