Sinar Harian
SHAH ALAM – Kemenangan C. Joseph Vijay dan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) dalam pilihan raya negeri Tamil Nadu disifatkan mencerminkan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi dan penolakan terhadap politik bersifat diskriminasi serta memecahbelahkan masyarakat.Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Vijay atas kejayaan itu dan pelantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.Menurutnya, kemenangan tersebut turut menggambarkan sokongan rakyat terhadap visi kepimpinan yang menekankan keadilan, keharmonian sosial, pemerkasaan belia dan pemodenan."Sebagai bekas pelakon yang lebih dikenali sebagai Thalapathy Vijay, beliau amat dikagumi di Malaysia khususnya dalam kalangan belia India atas pencapaian seni, imej kemanusiaan dan kepimpinan awamnya."Kebangkitan politik beliau juga diikuti dengan penuh minat dan keterujaan oleh ramai pihak, terutama mengambil kira hubungan sejarah, budaya dan bahasa yang sekian lama terjalin antara Tamil Nadu dan masyarakat India di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Pada Ahad, bintang filem terkenal yang kini bergelar ahli politik itu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu selepas partinya memperoleh sokongan majoriti.Takiyuddin menambah, PN berharap Vijay berjaya memimpin Tamil Nadu ke arah kemajuan, kestabilan dan kemakmuran yang lebih besar.
Go to News Site