Sinar Harian
PADA minggu lalu, pihak BNM telah mengumumkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang menyaksikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada paras 2.75 peratus.Meskipun keputusan tersebut telah dijangka oleh kebanyakan penganalisis ekonomi, kenyataan akhbar yang dikeluarkan jelas menunjukkan bahawa bank pusat Malaysia kini berada dalam mod berhati-hati.Faktor utama yang menjadi kebimbangan ialah kesan kenaikan kos bahan api yang berpunca daripada kekurangan bekalan akibat perang antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran. Pada bulan Mac lalu, Indeks Harga Pengeluar mencatatkan peningkatan bulan ke bulan yang tinggi iaitu sebanyak 4.1 peratus.Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh lonjakan besar kos bahan api sebanyak 30.5 peratus.Justeru, kemungkinan kenaikan harga barang dalam tempoh dua hingga empat bulan akan datang dijangka boleh berlaku. Hal ini kerana para peniaga mempunyai kecenderungan tinggi untuk menaikkan harga bagi melindungi margin keuntungan mereka. Namun, harga yang tinggi akan menjejaskan permintaan berikutan kuasa beli dalam kalangan pengguna dijangka terkesan.Oleh itu, kemungkinan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan, terutama pada separuh kedua tahun ini, adalah tinggi. Asas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh kedua 2025 juga tinggi apabila pertumbuhan yang dicatatkan ialah 5.9 peratus.Dengan jangkaan sentimen berhati-hati dalam kalangan pengguna dan peniaga, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih perlahan pada separuh kedua, sekitar 4 peratus hingga 4.5 peratus.Buat masa ini, kita sudah mula melihat kesan rantaian terhadap negara yang mempunyai kebergantungan tinggi kepada sumber import bahan api.Sebagai contoh, import minyak petroleum mentah dan petroleum yang telah diproses oleh China menguncup masing-masing sebanyak 20.3 peratus dan 49.3 peratus kepada 38.5 juta tan dan 1.8 juta tan bagi bulan April berbanding bulan Mac lalu.Bagi Malaysia pula, import produk petroleum terus menguncup 10.2 peratus bulan ke bulan kepada 2.63 juta tan pada bulan Mac berbanding penurunan 9.2 peratus pada bulan sebelumnya.Penurunan import ini jelas menunjukkan bahawa sekatan terhadap Selat Hormuz memberi impak signifikan kepada ekonomi global. Sekiranya keadaan ini berterusan, momentum pertumbuhan ekonomi global dijangka terjejas.Sehubungan itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mensasarkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan iaitu 3.1 peratus bagi tahun 2026 berbanding 3.4 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu. Namun, jangkaan pertumbuhan ini dibuat berdasarkan andaian bahawa perang di Iran akan mula reda pada pertengahan tahun ini.Hakikatnya, andaian tersebut agak rapuh kerana tiada kepastian jelas bahawa konflik ini bakal berakhir. Oleh demikian, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia sememangnya dijangka lebih mencabar berikutan krisis bahan api yang sedang berlaku. Keadaan ini menuntut semua pihak untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga.*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad
Go to News Site