Sinar Harian
SHAH ALAM - Sebarang kenyataan dikeluarkan atas nama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) perlulah melalui proses organisasi yang sah dan tidak dijadikan alat untuk kepentingan politik individu tertentu.Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Harish Hairudin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai satu kenyataan media dikeluarkan atas nama MKM baru-baru ini yang bersifat politik dan dilihat berniat mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan maklum balas awal, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara kolektif oleh pimpinan dan jaringan MKM di seluruh negara."Hakikatnya, kenyataan itu bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur, malah ia telah dijawab secara tegas oleh Setiausaha Agung MKM serta pengerusi-pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara."Mereka menafikan kenyataan berkenaan sebagai pendirian rasmi organisasi. Ini membuktikan tindakan beberapa kerat individu yang menggunakan platform mahasiswa untuk membawa agenda tertentu tidak mewakili suara majoriti mahasiswa Keadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Harish berkata, ramai dalam kalangan pimpinan dan warga MKM telah tampil secara terbuka menyatakan bantahan serta kritikan terhadap tindakan berkenaan yang jelas bercanggah dengan semangat asal gerakan mahasiswa.Beliau turut memperincikan kedudukan organisasi tersebut dengan menegaskan bahawa MKM bukanlah sayap rasmi parti dan tidak ditadbir secara langsung oleh Keadilan."Sejak awal penubuhan MKM, ruang autonomi dan kebebasan diberikan selaras dengan prinsip gerakan mahasiswa yang bebas, kritikal, dan matang, termasuk terhadap pihak yang dekat dengan parti sendiri."Namun, kebebasan itu tidak boleh dijadikan lesen untuk melakukan sabotaj dalaman, mencipta persepsi murahan, dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu tertentu," tegasnya.Mengulas lanjut, Harish menyatakan keyakinannya bahawa majoriti anak muda dan mahasiswa masih memahami sempadan perjuangan, disiplin organisasi, serta tanggungjawab moral dalam membawa suara rakyat.Tambahnya, fokus utama ketika ini adalah untuk memastikan suara anak muda terus menjadi kekuatan dalam membina masa depan Malaysia, bukannya digunakan sebagai alat permainan politik sempit oleh pihak yang ketandusan prinsip dan arah perjuangan.
Go to News Site