Sinar Harian
PUTRAJAYA - "Dunia ini bukan untuk dirunsingkan tetapi untuk diuruskan,".Demikian kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika ditanya apakah perancangan beliau selepas tamat perkhidmatan pada 12 Mei nanti.Menurutnya, bila menguruskan dunia ini, uruskan dengan berhemah dan lebih baik agar menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat."Tapi, SPRM ini perlu diuruskan tuan-tuan, kalau saya nak pencen pun perlu diuruskan...yang keduanya, sebagai lelaki, orang lelaki ini tetap akan bekerja sehingga satu hari dia dikerandakan dalam masjid."Faham-faham maksud tu."Saya tetap akan kekal bekerja menyumbang apa yang boleh kepada negara, kepada rakyat kerana perkara ini pada saya satu bentuk kepuasan kepada diri sendiri," katanya dalam temubual Podcast Kolar Hitam terbitan SPRM di sini pada Isnin.Azam berkata, beliau akan memerhatikan SPRM dari luar sebagai orang awam.Kata Azam, sama ada SPRM akan terus kekal relevan atau sebaliknya, sampai masa kemungkinan beliau akan bersuara dengan memberi pandangan baik dan membina."Itulah saya selepas bersara, kalau diperlukan berkongsilah pengalaman dengan mana-mana pihak terutama sekali rakan-rakan saya daripada SPRM, anak-anak buah saya."Kalau perlukan apa-apa nasihat ke, kalau diperlukan saya akan sentiasa menyumbang, sedia untuk menyumbang dan sebagainya," ujarnya.Ketika ditanya adakah beliau akan berkecimpung dalam dunia politik, Azam dengan tenang menolak perkara itu."Tak adalah. Politik jauh sekalilah pada saya setakat ini sebab politik ia bukan bidang saya. Perniagaan pun tidak. Saya pun tak reti nak meniaga ya," ujarnya.Azam juga sempat berseloroh beliau hanya tahu bermain saham hingga menyebabkan Datuk Seri Rafizi Ramli marah."Main saham saya retilah.. itu yang Rafizi marah. Tak apa. Saya jokes (gurau) ya. YB Rafizi, saya pun tak pernah marah dengan dia pun," selorohnya.Dalam pada itu, Azam turut sempat menyelitkan kepentingan menjaga keterampilan dan kesihatan dalam membentu keyakinan diri."Terus terang saya katakan bila saya jadi Ketua Pesuruhjaya, keterampilan itu penting untuk organisasi. Selepas pencen pun saya akan jaga keterampilan saya."Kadang-kadang saya sebut saya masih lagi sihat bersukan sebagainya."Ya, apa yang saya selalu sebut pada tuan-tuan dan puan-puan bila saya memulakan ucapan ALLAH Taala memberi kita kelapangan, rezeki dan juga kesihatan," ujarnya.
Go to News Site