Collector
Perlu ambil serius suara istana | Collector
Perlu ambil serius suara istana
Sinar Harian

Perlu ambil serius suara istana

SHAH ALAM - Gesaan beberapa negeri termasuk titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mengenai pulangan hasil negeri menunjukkan keperluan tindakan drastik terhadap reformasi fiskal antara kerajaan Persekutuan dan negeri.Pensyarah Pusat Pengajian Polisi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, suara institusi diraja dalam isu itu menunjukkan ketidakseimbangan fiskal negara kini berada pada tahap yang tidak boleh diabaikan.Menurut beliau, perkembangan itu bukan lagi sekadar isu peruntukan atau tuntutan politik negeri tertentu, sebaliknya membabitkan keseimbangan kuasa dalam struktur Persekutuan Malaysia."Dalam praktik fiskal, kebanyakan hasil besar seperti cukai pendapatan, cukai korporat, kastam, eksais dan pelbagai levi strategik dikumpulkan di pusat manakala negeri bergantung kepada hasil tanah, premium dan geran yang lebih kecil."Akibatnya, wujud ketidakseimbangan fiskal yang serius apabila negeri mempunyai sebahagian tanggungjawab pembangunan tetapi tidak mempunyai kapasiti kewangan setara," katanya pada Ahad.Menurut beliau, dalam jangka panjang, pergantungan berlebihan kepada Persekutuan melemahkan kemampuan negeri untuk merancang pembangunan secara strategik dan berterusan.Pada Jumaat, Tengku Hassanal ketika Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 melahirkan rasa kecewa apabila usaha negeri untuk menambah hasil tidak diluluskan kerajaan Persekutuan.Sebelum itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengulangi gesaan supaya 25 peratus hasil cukai yang dikutip di Johor dipulangkan semula kepada negeri.Di Kedah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menuntut insentif fiskal RM200 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai pampasan kerana mengekalkan kawasan tanaman padi dan hutan tadahan air.Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, apa yang berlaku menunjukkan isu hasil negeri kini semakin mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk institusi diraja sekali gus menggambarkan keresahan yang semakin mendalam terhadap struktur fiskal semasa.Beliau berkata, jika keadaan itu berterusan, ia bukan sahaja boleh menjejaskan kestabilan pembangunan negeri malah membuka ruang kepada ketidakseimbangan politik apabila pengagihan sumber dilihat terlalu bergantung kepada kuasa pusat.Justeru, beliau berpandangan sudah tiba masanya formula perkongsian hasil antara kerajaan Persekutuan dan negeri dikaji semula bagi memastikan sistem federalisme negara lebih matang, seimbang dan adil kepada semua negeri."Perbincangan tentang desentralisasi dan reformasi federalisme sudah berulang kali dibangkitkan oleh ahli akademik, kerajaan negeri, masyarakat sivil dan kini oleh institusi diraja, namun tindakan drastik masih belum berlaku," katanya.Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid pula berpandangan, tuntutan negeri untuk mendapatkan lebih banyak pulangan hasil daripada kerajaan Persekutuan sememangnya mempunyai asas yang munasabah.Menurutnya, kerajaan negeri memikul tanggungjawab besar dalam pengurusan tanah, sumber air, hutan, mineral tertentu, kerajaan tempatan dan sebahagian aspek alam sekitar."Namun begitu, sumber kutipan hasil utama negara seperti cukai pendapatan, cukai korporat, cukai jualan dan perkhidmatan serta duti perdagangan banyak dikuasai kerajaan Persekutuan."Keadaan ini menyebabkan negeri sering berdepan situasi apabila mereka menanggung kos pembangunan dan pengurusan sumber tetapi tidak menikmati pulangan yang dianggap setimpal," katanya.Beliau berkata, atas sebab itu negeri-negeri yang kaya dengan sumber asli seperti Pahang, Sabah dan Sarawak sering menuntut agar agihan hasil disemak semula supaya lebih adil.Bagaimanapun, katanya, kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pembangunan negara berlaku secara seimbang."Jika terlalu banyak hasil tertumpu kepada negeri kaya sumber, jurang pembangunan antara negeri boleh menjadi semakin besar."Oleh itu, isu ini perlu dilihat sebagai usaha mencari keseimbangan antara hak negeri dan kepentingan nasional," katanya.Tambah beliau, jika isu ketidakseimbangan fiskal antara kerajaan pusat dan negeri terus berlarutan, implikasinya boleh memberi kesan besar terhadap politik dan pentadbiran negara.Dari sudut politik, katanya, hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan boleh menjadi semakin tegang kerana negeri mungkin merasakan mereka tidak diberi layanan adil dalam pengagihan hasil negara."Perasaan tidak puas hati ini boleh membawa kepada tuntutan autonomi yang lebih luas serta meningkatkan sentimen kenegerian dalam kalangan rakyat."Dari sudut pentadbiran pula, pergantungan yang terlalu tinggi terhadap geran pusat boleh melemahkan kemampuan negeri untuk merancang pembangunan jangka panjang secara lebih bebas dan berkesan," katanya.Beliau berkata, projek pembangunan, penyelenggaraan infrastruktur, mitigasi banjir serta pengurusan sumber alam boleh terjejas apabila negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.Menurutnya, dalam jangka panjang, ketidakseimbangan ini juga boleh menjejaskan perpaduan nasional sekiranya rakyat negeri tertentu merasakan hasil negeri mereka tidak dipulangkan secara adil.

Go to News Site