Sinar Harian
KUALA TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mengesahkan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa baru-baru ini.Rosol dalam kenyataan pada Isnin berkata, beliau telah menerima pemakluman rasmi mengenai tindakan disiplin tersebut melalui surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin parti bertarikh 29 April yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.Meskipun menghargai peluang dan sumbangan Bersatu dalam perjalanan politiknya sebelum ini, beliau menyifatkan perkembangan semasa parti itu kini dilihat tidak lagi selari dengan asas perjuangan asal."Kebelakangan ini saya melihat terdapat beberapa perkembangan dan tindakan dalam parti yang pada pandangan saya kurang selari dengan asas perjuangan serta tidak konsisten dalam pelaksanaannya."Saya juga menyuarakan pandangan bahawa semangat ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ yang menjadi asas perjuangan parti dilihat semakin terhakis dalam beberapa keadaan," katanya.Mengulas lanjut mengenai keputusan Lembaga Disiplin, Rosol menegaskan badan tersebut memerlukan penambahbaikan segera daripada aspek ketelusan, terutama melibatkan pemisahan fungsi siasatan, pendakwaan dan keputusan.Tegasnya, kredibiliti Lembaga Disiplin kini dipersoalkan apabila entiti yang sama dilihat memonopoli keseluruhan proses daripada peringkat siasatan sehingga menjatuhkan hukuman."Lembaga Disiplin dilihat semakin hilang kredibiliti kerana entiti yang sama menyiasat, membuat tuduhan, mendakwa dan menjatuhkan hukuman."Sehubungan itu, saya tidak akan mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan penggantungan tersebut," jelasnya lagi.Terdahulu, media melaporkan Rosol antara lima Ahli Parlimen Bersatu yang dikenakan tindakan penggantungan hak-hak keahlian oleh Lembaga Disiplin parti.Selain beliau, turut terlibat ialah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Go to News Site