Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Seramai 335 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan perairan Selangor hingga Johor sejak awal tahun ini sehingga Isnin.Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara strategik dan bersepadu bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan serta mengekang kemasukan PATI ke negara ini."Kejayaan tangkapan itu adalah hasil koordinasi elemen infantri di Pos Operasi Taring Nyah 1 Selangor dan Johor bersama Task Force Delta Briged Tengah PGA."Sepanjang tempoh itu, sebanyak 38 serbuan telah dilaksanakan yang membawa kepada 55 kes di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Hakemal berkata, seramai 335 PATI telah ditahan melibatkan 237 lelaki, 96 wanita warga asing serta dua kanak-kanak lelaki.Beliau berkata, seramai 37 individu yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat dan tekong laut turut ditahan dalam operasi itu."Daripada jumlah itu, lima adalah lelaki warga tempatan, 29 lelaki dan dua wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Myanmar."Kita urut merampas 20 kenderaan, tiga bot, 57 unit telefon bimbit serta pelbagai barangan lain dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta," katanya.Hakemal berkata, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.Dalam perkembangan sama, Hakemal memaklumkan sebanyak 159 serbuan telah dijalankan di kawasan tanggungjawab Briged Tengah meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sepanjang tempoh 1 Januari hingga 11 Mei lalu."Sepanjang tempoh itu juga, seramai 551 individu ditahan dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM242 juta," katanya.Beliau menegaskan PGA akan terus komited melaksanakan tugas menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam secara profesional demi kesejahteraan rakyat."Orang ramai disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkenaan daripada terus berleluasa," katanya.
Go to News Site