Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Terlalu fear of missing out atau FOMO menikmati makanan manis, kurang zat dan tidak sihat demi mengikuti trend dilihat antara salah satu kebimbangan serius mesti ditangani segera.Guru sekolah, Kartika Abd Kahar, 30, berkata, dia tidak menafikan terdapat segelintir masyarakat terlalu mengikuti saranan juadah makanan di media sosial tanpa menghiraukan tahap kesihatan masing-masing hingga membawa kepada peningkatan peratusan masalah berat badan secara berlebihan.Menurut Kartika, lebih buruk apabila ditambah pula sesetengah masyarakat jarang bersenam untuk membakar kalori selepas makan.Selaku guru mata pelajaran Sains, Kartika berkata, tiada masalah jika seseorang itu ingin menikmati makanan tular di pasaran, namun perlu berpada-pada dalam konteks pengambilannya."Saya sangat setuju masyarakat sekarang FOMO dengan makanan viral, saya tak terkecuali tapi kenalah berpada‑pada."Lebih-lebih lagi, saya yang mengajar di sekolah. Pelajar mudah terdedah dengan pelbagai makanan tak sihat hanya melalui media sosial."Saya rasa sebagai masyarakat, kita semua perlu bijak membuat keputusan tentang makanan macam mana yang baik untuk kesihatan diri. Kalau dah makan banyak, mesti bersenam selepas itu supaya tidak obesiti dan tidak berisiko meninggal dunia pada usia muda," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Sementara itu, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sentul, P Renukha Devi, 26, mengakui, pada zaman dahulu obesiti hanya berlaku terhadap warga emas tetapi kenyataan itu tidak relevan untuk generasi sekarang apabila golongan muda juga tidak terkecuali berdepan isu tersebut.Tambahnya, makanan segera semakin mendapat permintaan jika dibandingkan dengan makanan bernutrien tinggi.Justeru, Renukha menyarankan supaya sistem piramid makanan yang selama ini menjadi rujukan kesihatan ditumpukan kepada melebihkan protein berbanding karbohidrat, khususnya buat remaja dan kanak- kanak."Protein sangat penting dan karbohidrat pula kalau makan banyak tapi tak bersenam akan bertukar kepada lemak hinggalah kita jadi obesiti."Ibu bapa dan guru hendaklah memainkan peranan membimbing anak-anak muda, ajar bersenam dan didik cara pemakanan seimbang," jelasnya.Juruvideo, Muhammad Aiman Irfan Zaidi, 24, tidak menafikan, punca utama masalah berat badan berlebihan antaranya kurang bersenam dan gaya hidup yang terlalu sibuk sehinggakan tiada masa menjalani aktiviti riadah, ditambah pula pemakanan harian tidak seimbang.Baginya, ia menimbulkan kebimbangan serius dalam jangka panjang memandangkan penyakit seperti diabetes, darah tinggi bahkan serangan jantung lazimnya terjadi tanpa disedari."Saya rasa kesedaran mengenai gaya hidup sihat perlu diperkasa sejak muda lagi."Antaranya menjadikan satu peringatan bahawa penyakit boleh datang tanpa disedari pun," katanya.Ujarnya, mulakan senaman dengan langkah kecil sudah memadai selain kurangkan manis, makan sederhana dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari."Masyarakat termasuk saya perlu ada kesedaran jaga kesihatan diri daripada awal," jelasnya.
Go to News Site