Collector
Hantavirus tidak mudah merebak seperti Covid-19 | Collector
Hantavirus tidak mudah merebak seperti Covid-19
Sinar Harian

Hantavirus tidak mudah merebak seperti Covid-19

PUTRAJAYA – Langkah pencegahan khas tidak perlu diaktifkan di dalam negara kerana risiko jangkitan hantavirus ketika ini masih terkawal dan tidak mudah merebak seperti Covid- 19.Pakar virologi, Professor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, langkah pencegahan buat masa ini hanya melibatkan individu yang mempunyai pendedahan langsung kepada mereka yang dikenal pasti berada di dalam kapal MV Hondius bersama pesakit dijangkiti atau individu bergejala yang mempunyai kaitan dengan kapal itu."Tiada keperluan bagi mereka yang lain termasuk masyarakat umum mengambil langkah pencegahan bagi jangkitan ini," katanya pada Isnin.Menurutnya, individu yang pulang dari negara endemik bagaimanapun disaran segera mendapatkan rawatan di hospital sekiranya mengalami gejala seperti jangkitan saluran pernafasan atau selesema.Katanya, sejarah perjalanan juga perlu dimaklumkan kepada doktor bagi memudahkan proses pengesanan awal jangkitan.Sebelum ini, Kapal MV Hondius yang membawa 150 penumpang dan kru pelbagai negara, berlabuh di Kepulauan Canary pada Ahad selepas wabak hantavirus tercetus.Operasi pemindahan besar-besaran dilakukan pihak Sepanyol dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga penumpang dilaporkan maut akibat wabak tersebut, yang dikaitkan dengan strain Andes, satu jenis hantavirus jarang berlaku tetapi boleh membawa maut dan berpotensi menular antara manusia dalam kes tertentu.Selain Perancis, puluhan penumpang lain turut dipulangkan ke negara masing-masing termasuk Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda dengan kebanyakan mereka menjalani kuarantin serta pemantauan kesihatan rapi.Sementara itu, mengulas tahap bahaya virus itu, Sazaly berkata, secara amnya hantavirus tidak mudah ditularkan seperti virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan Covid-19.Namun jelas beliau, jangkitan itu perlu dikenal pasti lebih awal bagi mengelakkan komplikasi lebih serius kepada pesakit."Jangkitan ini amat perlu dikesan awal dan pesakit menerima rawatan segera bagi mengelakkan komplikasi yang boleh menyebabkan gejala jangkitan lebih teruk termasuk kematian," katanya.Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Malaysia berada dalam keadaan siap siaga menghadapi ancaman hantavirus termasuk memperkukuh kawalan di pintu masuk negara.

Go to News Site