Sinar Harian
MELAKA - UMNO Bahagian Kota Melaka memandang serius kenyataan yang cuba menggambarkan penubuhan cawangan DAP di Kampung Padang Temu sebagai satu ‘sejarah besar’ yang kononnya membuktikan masyarakat Melayu semakin menerima perjuangan parti itu.Ketuanya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, hakikatnya penyertaan beberapa individu Melayu itu melibatkan mereka yang kecewa selepas menutup cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan hanya ‘salin kulit’ sebelum menyertai DAP.Menurutnya, situasi itu sama sekali tidak boleh dijadikan ukuran bahawa keseluruhan masyarakat Melayu telah menerima sepenuhnya ideologi dan perjuangan DAP."UMNO ingin menegaskan bahawa masyarakat Melayu di negara ini sentiasa terbuka kepada demokrasi dan perbezaan pandangan politik."Namun, keterbukaan itu jangan dimanipulasi untuk membina persepsi bahawa DAP kini menjadi ‘juara Melayu’, sedangkan rekod dan pendirian ramai pimpinan mereka sebelum ini sering menimbulkan keresahan berkaitan kedudukan Islam, hak Melayu Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.Beliau berkata, UMNO Bahagian Kota Melaka juga berpandangan bahawa politik khidmat kepada rakyat bukanlah sesuatu yang baharu atau eksklusif kepada mana-mana parti."UMNO sejak sekian lama telah berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama termasuk di kawasan majoriti Melayu, Cina dan India."Perjuangan UMNO bukan sekadar bermusim atau bersifat persepsi media sosial, tetapi terbukti melalui pembangunan, kestabilan dan pembelaan terhadap rakyat sejak merdeka," katanya.Ujar beliau, pihaknya menghormati hak mana-mana individu untuk menyertai parti pilihan masing-masing."Namun, DAP tidak wajar menggunakan angka keahlian atau sentimen ‘penerimaan Melayu’ sebagai propaganda politik untuk menutup kegagalan mereka menangani isu kos sara hidup, ekonomi rakyat serta keresahan masyarakat terhadap masa depan negara."UMNO Bahagian Kota Melaka akan terus istiqamah mempertahankan agenda Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, di samping memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum secara sederhana dan harmoni," katanya.Pada masa sama, beliau meminta orang ramai khususnya di Kota Melaka dan Telok Mas supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif politik yang cuba mengaburkan identiti serta prinsip perjuangan sebenar sesuatu parti.Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan DAP Melaka mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menubuhkan cawangan pertama di Kampung Padang Temu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang mempunyai 70 peratus majoriti pengundi Melayu.Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, penubuhan cawangan tersebut membuktikan parti itu kini semakin diterima pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.Menurutnya, cawangan berkenaan turut disertai ahli daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Portugis.
Go to News Site