Sinar Harian
KLANG – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor selepas didapati gagal memperbaharui lesen dalam operasi di kedudukan kira-kira 1.3 batu nautika barat laut Sungai Puloh di sini pada Isnin.Pengarah Maritim Negeri Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan sekitar jam 3.30 petang oleh kapal Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Ehsan, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 di perairan Selangor."Pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bertindak sebagai nakhoda bersama seorang kru lelaki tempatan berusia 45 tahun."Hasil semakan dokumentasi mendapati lesen bot berkenaan telah tamat tempoh," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Abdul Muhaimin berkata, bot, nakhoda dan kru terbabit kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut."Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memperbaharui lesen bot," katanya.Dalam pada itu, beliau menegaskan komuniti maritim supaya lebih peka terhadap syarat lesen yang telah ditetapkan pihak berkuasa."Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi syarat sah lesen dikeluarkan," tegasnya.Orang ramai yang mempunyai aduan, maklumat atau berdepan insiden kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
Go to News Site