Sinar Harian
SEREMBAN – Pengalaman jatuh bangun dalam dunia perniagaan menjadi titik tolak kepada Pengerusi OE EduGroup, Datuk Wira (Dr) Calvin Khiu untuk membantu lebih ramai usahawan mencapai kejayaan, sekali gus melahirkan golongan jutawan baharu.Bermula sebagai usahawan kain langsir, beliau kemudian mengembangkan empayar perniagaan ke bidang pendidikan menerusi penubuhan OE EduGroup pada tahun 2016.Hari ini, syarikat itu muncul sebagai antara platform pembangunan usahawan yang signifikan di Malaysia. Daripada hanya 20 pelajar pada peringkat awal, OE EduGroup kini berjaya melahirkan lebih sejuta pelajar melalui pembelajaran secara dalam talian dan fizikal.Menurutnya, matlamat utama adalah membina ekosistem keusahawanan yang mampan serta melahirkan lebih ramai usahawan berjaya."Keberhasilan seorang usahawan bukan hanya bergantung kepada usaha keras semata-mata, tetapi turut memerlukan sistem dan strategi yang tepat."Saya sendiri bermula dari bawah dan banyak menimba pengalaman termasuk dari luar negara. Saya dapati ramai usahawan gagal bukan kerana tidak rajin, tetapi kerana tidak mempunyai kaedah yang betul. Itulah sebabnya OE EduGroup ditubuhkan," katanya.OE EduGroup memfokuskan kepada dua segmen utama iaitu perusahaan kecil dan sederhana (SME) serta pelanggan korporat.Melalui OE Academy, golongan usahawan muda dan SME diberikan latihan intensif berasaskan praktikal, manakala sektor korporat dan kerajaan pula memanfaatkan kemudahan pembangunan pasukan (team building) yang disediakan.Seiring perkembangan tersebut, OE EduGroup turut memperkenalkan OE Resort yang telah beroperasi selama tiga tahun, direka sebagai pusat team building pertama seumpamanya di Malaysia, lengkap dengan pelbagai aktiviti interaktif. OE Resort adalah kesinambungan ekosistem sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan.Dalam menjalankan model perniagaan, Calvin menegaskan pendekatan praktikal menjadi keutamaan berbanding teori semata-mata, selaras dengan falsafah pendidikan yang diterapkan dalam setiap program.Selain itu, kemahiran komunikasi turut dikenal pasti sebagai elemen penting dalam membentuk usahawan berjaya."Kebanyakan pihak hanya menekankan teori, tetapi kami percaya kejayaan memerlukan praktis. Saya sendiri melalui proses jatuh bangun sebelum mencapai tahap sekarang."Dengan sistem dan ilmu yang betul, sesiapa sahaja mampu berjaya dalam dunia keusahawanan," ujarnya.Budaya kerja harmoniDalam tempoh dua tahun, sebanyak 300 syarikat SME bimbingannya berjaya mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records.Menurut Calvin, strategi syarikat bukan sekadar menawarkan program jangka pendek, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan hubungan jangka panjang bersama pelajar bagi memperkukuh jaringan perniagaan secara berterusan.Beliau juga menekankan kepentingan budaya kerja harmoni dalam organisasi, berteraskan sikap saling menghormati antara majikan dan pekerja."Hubungan yang baik dalam organisasi adalah asas kepada kejayaan sesebuah syarikat," katanya.Mengulas mengenai Anugerah Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026, beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai platform yang mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai usahawan muda."Ia bukan sekadar penghargaan, tetapi menjadi batu loncatan untuk syarikat atau individu pergi lebih jauh."Sehingga kini, saya telah menerima lebih 100 anugerah dan berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada orang lain."Seperti yang selalu saya katakan, jika saya boleh, anda juga boleh," katanya.
Go to News Site