Sinar Harian
KUALA LUMPUR - Ancaman jenayah digital dan kegiatan sindiket rentas sempadan antara cabaran terbesar yang menuntut perubahan segera dalam pendekatan keselamatan negara.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, landskap keselamatan semasa tidak lagi tertumpu kepada jenayah konvensional semata-mata, sebaliknya berkembang kepada ancaman siber, penipuan kewangan digital dan jenayah terancang yang bergerak merentasi sempadan.Menurutnya, perkembangan itu memerlukan pendekatan kepolisan moden yang lebih menyeluruh, pantas serta berasaskan teknologi dan perkongsian maklumat strategik."Tema Synergized Policing: Securing the Future Together yang diangkat menerusi PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 amat signifikan dan bertepatan dengan cabaran keselamatan semasa."Kita kini berhadapan evolusi jenayah siber yang semakin kompleks, penipuan kewangan digital yang memangsakan rakyat serta aktiviti sindiket terancang yang semakin mencabar," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 di sini pada Selasa.Shamsul Anuar berkata, paradigma kepolisan moden perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi bagi memastikan agensi penguatkuasaan sentiasa selangkah di hadapan dalam mendepani ancaman keselamatan baharu.Menurutnya, kerjasama strategik antara agensi keselamatan, pemain industri dan institusi akademik turut menjadi elemen penting dalam memperkukuh benteng keselamatan negara."Penganjuran PSD V membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama pelbagai pihak."Program ini menghimpunkan pemegang taruh utama daripada kepimpinan negara, pasukan keselamatan, pihak industri dan ahli akademik demi membugar sinergi dalam memperkukuh keselamatan negara," katanya.Beliau berkata, sepanjang dua hari program berlangsung, sebanyak 31 sesi melibatkan forum, bengkel teknikal dan pameran diadakan bagi mengetengahkan penyelesaian terhadap isu keselamatan maritim, narkotik dan inovasi penguatkuasaan.Katanya, program itu turut disertai lebih 3,000 peserta termasuk 200 delegasi kenamaan serta 135 syarikat tempatan dan antarabangsa.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pembaharuan Memorandum Perjanjian (MoA) antara PDRM dan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sains forensik menjadi langkah penting dalam memperkukuh kompetensi teknikal warga pasukan keselamatan."Kementerian Dalam Negeri akan terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi melalui dasar progresif dan pemodenan aset teknologi bagi memastikan PDRM kekal tangkas, responsif dan bersedia menghadapi sebarang ancaman yang boleh menggugat kestabilan nasional," katanya.
Go to News Site