Sinar Harian
KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang Eksekutif Kanan Binaan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira dua tahun lalu.Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu didakwa menerima suapan RM8,000 sebagai balasan mendapatkan kontrak, meluluskan penilaian kontrak kerja, mendapatkan perakuan siap kerja serta mempercepatkan tuntutan pembayaran untuk sebuah syarikat binaan dan sebuah syarikat kontraktor.Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dan menerima wang rasuah daripada syarikat-syarikat terbabit melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya."Suspek ditahan kira-kira jam 4 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman pada Selasa."Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman membenarkan perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 18 Mei ini," katanya.Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Go to News Site