Sinar Harian
MELAKA - Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mencuri beberapa pakaian termasuk bra di sebuah butik terkenal, minggu lalu.Tertuduh, Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sembilan barangan milik sebuah butik pakaian di pusat beli-belah Aeon, Jalan Lagenda, Taman Lagenda, dalam daerah Melaka Tengah sekitar jam 7.50 malam Ahad lalu.Antara barangan yang didakwa dicuri ialah beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, bra, seluar pendek dan gaun dengan jumlah keseluruhan kerugian RM491.Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, pesalah juga boleh dikenakan sebatan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin yang mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000.Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.Menurutnya, tertuduh yang bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan RM1,500 sebulan turut menanggung ibunya yang menghidap barah otak.Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Go to News Site