Collector
Di sebalik ‘lebuh raya digital’ haji | Collector
Di sebalik ‘lebuh raya digital’ haji
Sinar Harian

Di sebalik ‘lebuh raya digital’ haji

MAKKAH – Di sebalik kelancaran operasi haji yang melibatkan 31,600 jemaah Malaysia musim ini, terdapat sekumpulan kecil petugas teknologi maklumat (IT) Tabung Haji (TH) yang menjadi tulang belakang kepada keseluruhan sistem pengurusan digital di Tanah Suci.Daripada urusan penerbangan di tanah air hinggalah pemantauan pergerakan bas di Masyair, semuanya bergantung kepada sistem digital yang dibangunkan dan diselenggara tanpa henti oleh 16 petugas IT TH.Pengarah Operasi Teknologi Maklumat TH, Shamsul Kamal berkata, pasukan tersebut bertanggungjawab menyediakan ‘lebuh raya digital’ bagi memastikan semua sistem, rangkaian, perisian dan peralatan berfungsi sepenuhnya sebelum ketibaan petugas serta jemaah.Menurutnya, pasukan IT juga merupakan antara kumpulan pertama tiba di Tanah Suci dan yang terakhir pulang dengan tempoh penugasan melebihi 60 hari."Tugas kami memastikan semua sistem dan infrastruktur tersedia sepenuhnya kerana tanpa sokongan IT, operasi penting seperti pengeluaran tiket penerbangan dan pengurusan pergerakan jemaah tidak dapat dilakukan dengan lancar," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, tahun ini seramai 16 petugas IT digerakkan melibatkan operasi di tanah air, stesen berlepas serta Tanah Suci meliputi Madinah, Makkah dan sokongan di Jeddah.Katanya, di Makkah sahaja, pasukan tersebut dipecahkan mengikut bidang kepakaran khusus termasuk pemantauan sistem, pengurusan rangkaian serta penyelenggaraan peralatan seperti komputer riba dan pencetak.Menurut Shamsul, antara cabaran utama operasi IT di Tanah Suci ialah tempoh persiapan yang singkat, iaitu sekitar seminggu sebelum ketibaan jemaah.Beliau berkata, cabaran itu menjadi lebih besar apabila terdapat bangunan penginapan baharu di Makkah dan Madinah yang memerlukan infrastruktur dibangunkan sepenuhnya dari awal."Kami juga bergantung kepada kemudahan internet di Arab Saudi yang mempunyai pilihan pembekal lebih terhad berbanding di Malaysia," ujarnya.Dalam perkembangan sama, beliau berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini turut digunakan dalam sistem e-TAIB bagi membantu menjawab persoalan berkaitan ibadah haji.Bagaimanapun katanya, sistem tersebut dibangunkan berasaskan Mazhab Syafie serta garis panduan haji Malaysia."Jemaah dinasihatkan supaya tidak menggunakan AI awam seperti ChatGPT untuk rujukan hukum haji kerana sumber data yang digunakan mungkin tidak selaras dengan amalan di Malaysia," katanya.Selain itu, aplikasi THhujjaj turut menjadi antara inovasi digital utama diperkenalkan TH pada musim haji kali ini.Menurut Shamsul, aplikasi berkenaan berfungsi sebagai pusat maklumat setempat yang menghimpunkan pelbagai maklumat penting termasuk jadual penerbangan, waktu solat, cuaca serta peta lokasi hotel dan penempatan jemaah di Masyair.Katanya, aplikasi tersebut turut dilengkapi ciri senarai semak bagi membantu jemaah memastikan keperluan penting seperti ubat-ubatan dan pakaian tidak tertinggal."Bagi memudahkan warga emas, sistem ini menggunakan kaedah log masuk sekali sahaja melalui imbasan kod bar pada lencana sebelum semua maklumat dipaparkan dalam bentuk ringkas dan mudah difahami," katanya.Beliau berkata, selain THhujjaj, jemaah juga perlu menggunakan aplikasi THiJARI untuk urusan pembayaran dam dan korban secara digital.Tambahnya, aplikasi Nusuk yang diwajibkan kerajaan Arab Saudi pula digunakan bagi mendapatkan permit masuk ke Raudah.Mengulas cabaran operasi di Masyair yang sering mengalami kesesakan rangkaian akibat kehadiran lebih dua juta jemaah, Shamsul berkata, TH mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam mengendalikan situasi tersebut.Menurutnya, sekiranya berlaku gangguan sistem digital, pasukan IT akan beralih kepada kaedah separa manual atau manual menggunakan telefon dan walkie-talkie."Pemantauan pergerakan bas dan jemaah masih dapat dilakukan melalui bilik gerakan walaupun mungkin berlaku sedikit kelewatan berbanding sistem automasi," katanya.Beliau turut mengakui penerimaan jemaah terhadap penggunaan teknologi kini semakin positif terutama selepas pandemik Covid-19.Katanya, keperluan menggunakan aplikasi Nusuk untuk memasuki Raudah secara tidak langsung membantu membiasakan jemaah termasuk warga emas menggunakan telefon pintar dalam urusan ibadah.Dalam pada itu, Shamsul berkata, TH sememangnya mempunyai perancangan untuk menggunakan teknologi Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi menjejaki jemaah pada masa hadapan.Namun katanya, pelaksanaan pemantauan individu melibatkan 31,600 jemaah memerlukan infrastruktur lebih besar termasuk penggunaan peranti khas serta penyelidikan lanjut."Buat masa ini, fokus kami adalah memperkukuh sistem Operasi Haji sedia ada bagi memantau kemasukan jemaah dan pergerakan bas secara masa nyata," katanya.

Go to News Site