Collector
Reformasi RON95: 'Usah jadikan kelas pertengahan mesin ATM kerajaan' - MP Kepong | Collector
Reformasi RON95: 'Usah jadikan kelas pertengahan mesin ATM kerajaan' - MP Kepong
Sinar Harian

Reformasi RON95: 'Usah jadikan kelas pertengahan mesin ATM kerajaan' - MP Kepong

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan supaya tidak menjadikan golongan kelas pertengahan sebagai sasaran mudah dalam melaksanakan reformasi subsidi petrol RON95 kerana kumpulan itu berisiko menanggung beban paling besar.Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menegaskan, golongan paling terkesan daripada pelaksanaan reformasi RON95 itu mungkin bukan golongan maha kaya, sebaliknya keluarga kelas pertengahan yang berada sedikit di atas garis kelayakan.Menurutnya, golongan kelas pertengahan ketika ini sudah menanggung cukai tinggi, kos sara hidup meningkat, tekanan pemilikan rumah serta perbelanjaan pendidikan."Mereka mungkin memperoleh pendapatan sedikit lebih tinggi di atas kertas, namun beban yang ditanggung masih berat. Kerajaan hanya melihat angka, bukan tekanan sebenar rakyat. Mereka tidak boleh dijadikan sasaran paling mudah setiap kali kerajaan mahu berjimat."Jangan jadikan kelas pertengahan sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kerajaan. Rakyat yang bekerja keras, memperoleh pendapatan lebih baik dan meningkatkan taraf hidup sepatutnya diberi galakan, bukannya dihukum."Jika rakyat mula percaya bahawa semakin kuat mereka bekerja, semakin banyak yang hilang, negara akan menanggung akibat besar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan masih meneliti mekanisme terbaik berhubung cadangan semakan semula subsidi petrol bagi golongan berpendapatan tinggi.Menurutnya, cadangan berkenaan telah dibincangkan oleh beberapa kementerian dan jawatankuasa berkaitan sejak beberapa minggu lalu, namun kerajaan belum memuktamadkan sama ada ia akan melibatkan kumpulan T20, T15 atau kategori lain.Ketika ini, RON95 disubsidi pada harga RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah dan dihadkan kepada 200 liter sebulan.Justeru, Lip Eng berkata, sekiranya kerajaan mahu menarik balik atau mengurangkan subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi, mekanisme pelaksanaannya perlu diperjelaskan secara menyeluruh.Tambah beliau, ia termasuk dari segi siapa yang akan terkesan, kaedah penilaian pendapatan serta sama ada beban isi rumah, kos sara hidup, tanggungan keluarga, pinjaman dan keperluan perjalanan harian akan diambil kira.Ujarnya, kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan label seperti T20, T15, T10 atau T5 dan mengharapkan rakyat tidak panik."Pendapatan tinggi tidak semestinya bermaksud kaya. Isi rumah yang berada di atas garis T20 masih boleh bergelut di Kuala Lumpur, Selangor atau Lembah Klang selepas membayar kos perumahan, pinjaman kenderaan, pendidikan anak-anak, insurans, penjagaan ibu bapa warga emas dan kos kehidupan harian."Mereka bukan jutawan, sebaliknya keluarga kelas pertengahan biasa yang bekerja keras hanya untuk meneruskan kehidupan," tegas beliau lagi.Tambah beliau, kerajaan tidak boleh melakukan kesilapan dengan hanya melihat jumlah pendapatan tanpa mengambil kira perbelanjaan sebenar rakyat.Lip Eng menjelaskan, kerajaan sebelum ini mewujudkan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilaporkan menelan kos RM85.27 juta bagi memastikan dasar dilaksanakan secara lebih tepat, adil dan berpandukan data."Jika keputusan akhir masih dibuat berdasarkan label umum tanpa penilaian sewajarnya, maka apa gunanya PADU? Rakyat Malaysia bukan menolak reformasi, sebaliknya menolak reformasi yang tidak adil, tidak jelas dan dibuat secara sambil lewa."Kerajaan perlu menjawab persoalan asas. Adakah pemotongan subsidi dibuat berdasarkan pendapatan individu atau isi rumah? Adakah lokasi tempat tinggal keluarga diambil kira? Adakah bilangan anak, ibu bapa warga emas, pinjaman rumah, pinjaman kereta dan jarak perjalanan harian turut dipertimbangkan?"Jika persoalan berkenaan tidak dapat dijawab dengan jelas, maka kerajaan belum bersedia melaksanakan dasar tersebut," katanya.Susulan itu, Lip Eng menggesa kerajaan supaya segera mendedahkan mekanisme penuh subsidi RON95 termasuk had pendapatan, kaedah penilaian, proses rayuan dan pelan peralihan."Hentikan kebimbangan rakyat akibat piawaian yang tidak jelas," desaknya lagi.

Go to News Site