Sinar Harian
SHAH ALAM — Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa Kementerian Kewangan tampil memberi penjelasan berhubung urus niaga tanah strategik seluas 75 ekar di Bandar Malaysia yang didakwa "dikunci" sehingga 30 tahun dengan pulangan kurang satu peratus setahun sebelum perjanjian itu dibatalkan bersama pampasan RM46.6 juta.Beliau berkata, tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan Bandar Malaysia seluas 486 ekar yang dianggarkan bernilai kira-kira RM12 bilion dan terletak di lokasi strategik di tengah ibu negara berhampiran dua stesen MRT serta hanya beberapa hentian dari Bukit Bintang dan Tun Razak Exchange (TRX).Menurut beliau, berdasarkan anggaran mudah, nilai tanah seluas 75 ekar itu sahaja dianggarkan mencecah sekitar RM1.8 bilion."Ini bukan tanah di hujung hutan. Ia aset komersial strategik di tengah Kuala Lumpur," katanya menerusi video dimuat naik di TikTok pada Selasa.Ka Siong mendakwa kerajaan menerusi Kementerian Kewangan pada 1 November 2023 telah menandatangani perjanjian pajakan tanah itu kepada syarikat dari Singapura, Sim Leisure Group, bagi tempoh 15 tahun dengan pilihan lanjutan 15 tahun lagi.Beliau mempersoalkan rasional tanah strategik bernilai hampir RM2 bilion itu dipajak sehingga tiga dekad sedangkan pulangan tahunan kepada kerajaan diunjurkan kurang daripada 0.8 peratus daripada nilai tanah berkenaan.Katanya, di bawah perjanjian itu, kadar sewaan ditetapkan pada minimum RM3 juta setahun termasuk cukai taksiran dan cukai tanah atau lima peratus daripada hasil kasar projek, mengikut mana yang lebih tinggi."RM3 juta setahun bagi 75 ekar bersamaan kira-kira 7.65 sen bagi setiap kaki persegi sebulan."Itu kadar yang terlalu rendah bagi tanah komersial strategik di Kuala Lumpur," katanya.Beliau turut mempersoalkan tempoh 18 bulan pertama yang diberikan tanpa sebarang bayaran sewa walaupun tanah itu telah terikat dengan projek berkenaan.Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, unjuran Sim Leisure menunjukkan projek itu dijangka menjana hasil RM68.8 juta pada tahun pertama operasi, sekali gus menyebabkan Bandar Malaysia hanya menerima sekitar RM3.4 juta menerusi perkongsian lima peratus hasil kasar.Menurutnya, jumlah itu hanya bersamaan pulangan kira-kira 0.19 peratus daripada nilai tanah terbabit.Katanya, menjelang tahun ke-30, hasil projek diunjurkan meningkat kepada RM283 juta dengan bahagian lima peratus untuk Bandar Malaysia sekitar RM14 juta, namun ia masih hanya mewakili pulangan sekitar 0.76 peratus daripada nilai tanah.Beliau turut menyatakan kadar lima peratus hasil kasar itu lebih rendah daripada kadar semasa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus.Sehubungan itu, beliau berkata, tidak mengejutkan apabila kerajaan akhirnya membatalkan perjanjian tersebut, namun keputusan itu menyebabkan Malaysia perlu membayar pampasan RM46.6 juta hanya kira-kira setahun selepas perjanjian dimeterai."Persoalannya, siapa yang merundingkan perjanjian ini? Siapa yang meluluskan syarat-syarat tersebut? Mengapa tanah bernilai hampir RM2 bilion diikat dengan pulangan begitu kecil?"Dan mengapa rakyat Malaysia kini perlu menanggung pampasan RM46.6 juta susulan keputusan kerajaan Madani sendiri?" katanya.Menurut Dr Wee, isu berkenaan bukan sekadar masalah operasi kecil sebaliknya membabitkan keputusan di peringkat Kementerian Kewangan dan wajar disiasat secara menyeluruh.
Go to News Site