Sinar Harian
PUTRAJAYA - Tan Sri Azam Baki tidak dapat menahan sebak pada ucapan pada hari terakhir perkhidmatannya menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.Detik hiba itu hadir semasa beliau menceritakan pengorbanan isteri dan ahli keluarga yang memahami akan tugasnya.Menurut Azam, ahli keluarganya juga terpaksa berdepan pelbagai tekanan, serangan serta cabaran susulan dakwaan dan kritikan yang ditujukan terhadap beliau."Mereka berdepan dengan pelbagai serangan serta tekanan akibat serangan terhadap saya, yang menyebabkan mereka turut menghadapi pelbagai cabaran dan luka yang tidak sepatutnya mereka alami."Saya sering menasihatkan mereka supaya tidak terlalu gusar dengan apa yang berlaku kerana dunia ini bukan untuk dirungsingkan, tetapi untuk diuruskan. Kita hanya perlu menguruskannya dengan sebaik mungkin."Alhamdulillah, mereka dapat bertenang dan terus bersama-sama saya menghadapi semua ini," katanya selepas Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM, di sini pada Rabu.Selepas enam tahun mengetuai SPRM, Azam berkata, segala pencapaian dan kejayaan agensi berkenaan adalah hasil usaha kolektif seluruh warga agensi dan bukan bergantung kepada kepimpinan individu semata-mata.Menurutnya, semangat kebersamaan dan ‘esprit de corps’ yang tinggi dalam kalangan warga SPRM menjadi pemangkin utama kejayaan organisasi itu dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk perubahan landskap jenayah."Saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dalam mentadbir serta menguruskan organisasi ini."Sesungguhnya, segala kelemahan itu datangnya daripada diri saya sendiri, manakala yang sempurna itu hanyalah milik ALLAH. ALLAH jua yang Maha Kekal dan Maha Sempurna," katanya pada Majlis Penghargaan Khas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.Majlis dihadiri Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, pengarah bahagian dan negeri serta pegawai-pegawai kanan suruhanjaya.Ahli keluarga Azam turut hadir sebelum majlis memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke-63.Azam secara rasminya menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 12 Mei 2026 selepas 42 tahun menabur bakti dalam agensi antirasuah negara.Dalam ucapannya juga, Azam turut menyentuh tentang kepentingan untuk SPRM terus kekal relevan melalui pendekatan lebih berani dan radikal termasuk memperluas penggunaan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) dalam usaha membanteras rasuah dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi itu."Saya berdoa agar SPRM akan terus diberikan kekuatan, petunjuk dan perlindungan oleh Allah SWT dalam melaksanakan amanah besar memerangi rasuah di negara ini."Semoga segala usaha, komitmen dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini akan terus membuahkan hasil yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat," ujarnya.Katanya lagi, SPRM mempunyai barisan pelapis yang berwibawa, berintegriti dan bersemangat tinggi untuk meneruskan legasi perjuangan ini."Dengan semangat baharu, idea segar dan iltizam yang kuat, saya percaya generasi seterusnya mampu membawa SPRM ke tahap yang lebih cemerlang dan dihormati, selaras dengan tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan," ujarnya.Sebagai rekod, Azam, yang dilahirkan pada 12 Mei 1963 di Negeri Sembilan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Jurisprudens (Eksternal) dari Universiti Malaya dan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Siasatan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 8 Mei 1985 sebelum agensi itu dinaik taraf sebagai SPRM pada 2009.Sepanjang 42 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau pernah menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.Sepanjang kepimpinan beliau, SPRM melalui transformasi signifikan dengan penekanan kepada pendekatan siasatan berasaskan risikan, penggunaan teknologi serta tindakan lebih agresif terhadap kes berimpak tinggi melibatkan "grand corruption" dan ketirisan dana awam.Antara inisiatif utama yang diperkenalkan ialah penubuhan Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) pada 5 Oktober 2023 bagi memperkukuh keupayaan operasi berisiko tinggi serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.Beliau turut memperkasa pendekatan Multiagency Task Force (MATF) menerusi kerjasama strategik antara pelbagai agensi bagi membanteras penyeludupan, pengubahan wang haram serta ketirisan hasil negara melalui operasi berskala besar seperti Op Metal, Op Nature dan Op Karen.Dalam tempoh beliau menerajui SPRM, agensi itu berjaya merekodkan pemulihan aset negara bernilai kira-kira RM15.5 bilion antara tahun 2021 hingga awal 2026 termasuk sebahagian besar melibatkan dana berkaitan 1MDB.Azam turut memberi fokus kepada pembanterasan sindiket jenayah terancang, "mafia korporat" serta kes berprofil tinggi yang melibatkan ketirisan dana awam dan salah guna kuasa.
Go to News Site