Sinar Harian
PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menangguhkan pelaksanaan Jaminan Bank ke atas syarikat agensi pelancongan outbound dan umrah daripada 15 Mei 2026 kepada 1 Januari 2027, susulan pertimbangan semasa melibatkan keadaan industri serta faktor luaran global.Menerusi kenyataan MOTAC memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan maklumbalas pelbagai pihak berkepentingan termasuklah persatuan industri serta merupakan langkah berasaskan kepentingan awam demi mengimbangkan perlindungan terhadap pelancong dan kelangsungan industri." Susulan konflik yang berlaku di Asia Tengah yang memberi kesan terhadap industri pelancongan di peringkat global, termasuk operasi dan kedudukan kewangan sebahagian pemain industri, MOTAC telah mengambil keputusan untuk menetapkan tarikh baharu pelaksanaan Jaminan Bank tersebut iaitu pada 1 Januari 2027 bagi memastikan pelaksanaan mekanisme ini dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berdaya maju dan mengambil kira tahap kesiapsiagaan industri, tanpa menjejaskan matlamat asal kawal selia di bawah perundangan yang sedang berkuat kuasa," katanya pada Selasa.Sebelum ini, Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing mengarahkan mekanisme jaminan bank dilaksanakan segera sebagai syarat mandatori kepada agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah.Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi melaksanakan sesuatu pakej umrah.Pelaksanaan Jaminan Bank ke atas syarikat agensi pelancongan yang menjalankan aktiviti outbound dan umrah merupakan salah satu mekanisme penting yang diperkenalkan oleh kementerian bagi memperkukuh perlindungan pengguna serta membendung kes penipuan yang sering berlaku dalam urusan pelancongan dan umrah selaras dengan kehendak di bawah peraturan 6 (1)(m) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 [P.U. (A)333/1992].Langkah ini juga bertujuan meningkatkan tahap integriti, keyakinan dan profesionalisme dalam industri pelancongan negara.Dalam pada itu, MOTAC menzahirkan komited dalam memastikan mekanisme perlindungan pengguna dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan tidak menjejaskan kelangsungan industri pelancongan negara."MOTAC akan terus memperkukuh usaha dalam memastikan industri pelancongan dan umrah negara berkembang secara mampan, diyakini dan selamat demi menjaga kebajikan serta kesejahteraan pelancong dan jemaah umrah," jelasnya.
Go to News Site