Sinar Harian
SEMPORNA - Seorang bayi lelaki dipercayai berusia dua bulan ditemukan dalam keadaan berbungkus dengan kain di laluan pejalan kaki hadapan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini, pada Selasa.Bayi dengan berat sekitar tiga kilogram itu ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan polis dibuat berhubung penemuan tersebut.Ketua Polis Daerah Superintenden Tan Hiap Wah berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut."Bayi yang dianggarkan berusia dua bulan itu dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta masih dalam pemantauan pihak hospital untuk rawatan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat."Ekoran kejadian itu juga, satu tangkapan telah dilakukan terhadap seorang wanita bukan warga tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu atau bapa kepada seorang kanak-kanak berusia kurang daripada 12 tahun meninggalkan anak mereka dengan niat hendak membuang kanak-kanak tersebut."Jika disabit kesalahan, pelaku akan dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali."Sehubungan itu, bagi membantu siasatan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil menyalurkannya kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor J Munnesh di talian 0129922566 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Go to News Site