Sinar Harian
SHAH ALAM - Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) menggesa pihak berkuasa dan institusi berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan kebencian terhadap tokoh-tokoh Islam termasuk para sahabat Nabi Muhammad SAW.Timbalan Presiden Wadah, Hasri Harun berkata, ini kerana para sahabat adalah generasi terbaik umat Islam yang telah dipilih oleh ALLAH SWT untuk mendampingi, membantu serta menyampaikan risalah Islam yang suci kepada seluruh umat manusia.Menurutnya, kedudukan mereka telah dimuliakan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW."Oleh itu, Wadah mengecam kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ceramahnya seolah-olah menghina, merendah atau mempersendakan wibawa para Sahabat Nabi Muhammad SAW."Sebarang usaha untuk mencemarkan nama para Sahabat bukan sahaja bertentangan dengan adab Islam, malah boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam, menggugat keharmonian masyarakat dan menimbulkan kekeliruan atas kewibawaan sahabat Nabi SAW yang telah berjasa dengan agama Islam."Apalah maksud dan tujuan menimbulkan dan membangkitkan sejarah lama para sahabat nabi sebelum Islam walaupun faktanya juga masih diragui," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.Antara lain setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang "bapa ceti" yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman Jahiliyah.Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.Difahamkan kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, pada hujung minggu lalu.Tambah Hasri, bukankah ALLAH lebih mengetahui akan suasana dan keadaan mereka sehinggakan mereka berjaya bersama-sama Rasulullah SAW membangunkan Islam sehingga dinikmati hingga hari ini.Jelasnya, justeru, Wadah menyeru agar semua pihak harus berhati-hati menyatakan pandangan, khususnya umat Islam di Malaysia."Ia bagi menghormati kedudukan para sahabat Nabi SAW sebagai tokoh agung Islam dan mengelakkan sebarang provokasi, fitnah atau kenyataan tidak berasas terhadap sejarah Islam."Selain itu, sebarang kenyataan perlu merujuk kepada autoriti ilmiah dan ulama muktabar dalam memahami isu-isu berkaitan sejarah Islam serta memelihara perpaduan umat dan mengutamakan adab dalam perbezaan pandangan."Akhirnya, Wadah berharap agar umat Islam kembali kepada nilai ilmu, hikmah dan akhlak mulia dalam menyampaikan pandangan, selaras dengan tuntutan Islam sebagai agama rahmat untuk sekalian alam," ulasnya.
Go to News Site