Sinar Harian
SHAH ALAM - Titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diberi perhatian serius kerana membawa mesej penting mengenai prinsip federalisme dan hak ekonomi negeri.Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, titah baginda ketika pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini bukan sekadar istiadat tahunan, sebaliknya peringatan penting mengenai hubungan Persekutuan dan hak negeri.Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan itu menegaskan, kenyataan sedemikian tidak wajar disambut secara sinis kerana prinsip federalisme menuntut setiap negeri dilayan secara adil tanpa dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.Menurut beliau, Tengku Hassanal menegaskan pengorbanan Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung dalam memelihara keseimbangan alam sekitar tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui kutipan cukai, sebaliknya perlu dihargai menerusi sokongan terhadap hak ekonomi negeri."Baginda turut menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan meluluskan usaha Pahang menambah hasil negeri melalui eksport pasir Sungai Pahang serta penglibatan kontraktor tempatan dalam projek Persekutuan."Barangkali kemurkaan baginda berpunca daripada kelewatan melampau agensi Persekutuan menyelesaikan isu berbangkit sehingga menjejaskan penjualan ‘gunung pasir’ di muara Sungai Pekan dan membantutkan aktiviti perlombongan pasir bagi kelestarian Sungai Pahang," katanya menerusi ruangan Pendapat Sinar Harian pada Isnin.Wan Ahmad Fauzi berkata, tindakan menggantung atau tidak mengeluarkan lesen eksport tidak wajar sekiranya Kerajaan Persekutuan gagal menyediakan alternatif bagi membantu negeri menjana pendapatan.Menurut beliau, dasar perdagangan dan eksport di bawah bidang kuasa Persekutuan merupakan amanah, bukannya ‘veto’ untuk menjejaskan ekonomi sesebuah negeri.Katanya, menyekat sumber pendapatan negeri tanpa jalan penyelesaian hanya menafikan hak negeri menikmati hasil daripada sumber buminya sendiri."Lebih ironinya, Kerajaan Persekutuan turut menikmati kutipan cukai korporat dan individu daripada pemain industri pasir."Tidak adil untuk terus mengutip cukai hasil negeri melalui LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), tetapi pada masa sama melemahkan rantaian ekonomi yang menjana cukai tersebut," ujarnya.Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan menubuhkan jawatankuasa khas atau pasukan petugas segera bagi meneliti isu berbangkit dan memastikan titah Tengku Hassanal dilaksanakan secara terbaik dalam tempoh munasabah.Katanya, jika lesen eksport terus dibekukan, agensi Persekutuan perlu mencari alternatif termasuk mewujudkan rantaian pasaran domestik atau membekalkan pasir kepada projek infrastruktur rakyat.Selain itu, beliau berkata, titah baginda supaya syarikat serta kontraktor tempatan yang kompeten diberi keutamaan dalam projek di Pahang wajar disambut baik."Anak-anak Pahang perlu diberi peluang utama membangunkan negeri sendiri, bukannya sekadar menjadi penonton kepada syarikat luar yang memonopoli kontrak besar," katanya.Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak turut bersetuju dengan pandangan tersebut.Beliau berkata, titah Tengku Hassanal tidak boleh dipandang ringan kerana jarang institusi diraja menzahirkan ketidakpuasan hati secara terbuka terhadap Kerajaan Persekutuan.Menurutnya, titah baginda yang diakhiri pantun lama ‘Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati’ membawa mesej tersirat mengenai sejarah dan pengorbanan besar Pahang dalam pembentukan Persekutuan Tanah Melayu."Pantun itu juga dilihat sebagai jawapan tegas kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan peruntukan kepada Pahang ‘besar, bukan kecil’ serta janji mendapatkan penjelasan bertulis daripada Menteri Kewangan II."Bagaimanapun, jawapan berbentuk pentadbiran itu tidak menyentuh inti pati tuntutan sebenar," katanya.Muhammad Afifi berkata, Pahang bukan negeri bawahan yang sekadar menunggu arahan Putrajaya, sebaliknya antara negeri teras yang sekian lama memikul tanggungjawab menjaga keseimbangan ekologi negara melalui kawasan hutan, sungai dan biodiversiti.Namun, katanya, apabila negeri itu mahu menjana hasil sendiri, pelbagai sekatan dan birokrasi pula dikenakan sehingga menjejaskan ekonomi negeri.Dalam isu eksport pasir Sungai Pahang, beliau menegaskan soal utama ialah konsistensi dan keadilan Kerajaan Persekutuan."Jika eksport pasir mahu disekat atas alasan perlindungan alam sekitar atau dasar nasional, tindakan itu mesti dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua negeri tanpa pengecualian."Tidak boleh ada negeri diberi kelulusan eksport, tetapi Pahang dikenakan sekatan tanpa alasan kukuh."Jika itu berlaku, ia bukan sahaja menimbulkan persepsi layanan tidak adil, malah mencerminkan amalan federalisme yang semakin selektif," katanya.
Go to News Site