Collector
TVET buka laluan Haikal capai impian jadi arkitek | Collector
TVET buka laluan Haikal capai impian jadi arkitek
Sinar Harian

TVET buka laluan Haikal capai impian jadi arkitek

IPOH – Dalam usia 21 tahun, Muhamad Haikal Haqimi Nizam membuktikan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal relevan dalam melahirkan bakat profesional yang berdaya saing.Pelajar Diploma Seni Bina dari Politeknik Ungku Omar (PUO) itu mencipta pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bintang TVET 2025 bagi kategori kemahiran.Pengiktirafan berprestij tersebut diterima susulan rekod pencapaian cemerlangnya dalam pelbagai pertandingan kemahiran di peringkat nasional dan antarabangsa.Kejayaan itu sekali gus meletakkan anak kelahiran Kampar tersebut dalam kelompok pelajar terbaik negara, selain menjadi penanda aras baharu bagi pelajar TVET di seluruh negara.Sepanjang pengajian di PUO, Muhamad Haikal aktif menyertai pertandingan sehingga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan."Antara pencapaian utama termasuk pingat emas dalam PolyCCSkills bagi kategori Art & Deco Painting serta Digital Construction pada 2024 dan 2025."Selain itu, saya turut meraih pingat emas dalam Built Environment Project ProAlbi 2024 serta pingat perak dalam pertandingan Building Information Modelling (BIM) di China," katanya.Anak muda ini juga mencatat kejayaan dalam pertandingan melibatkan reka bentuk dan inovasi, termasuk BIM Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memerlukan peserta membangunkan projek bangunan secara menyeluruh."Di politeknik, pembelajaran lebih praktikal. Kita bukan sahaja belajar teori, tetapi terus terlibat dengan projek, pertandingan dan situasi sebenar industri."Pendekatan ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal, malah membina keyakinan diri untuk bersaing di peringkat lebih tinggi," katanya.Meskipun aktif dalam pelbagai pertandingan, kecemerlangan akademik tetap menjadi keutamaannya dan itu dibuktikan apabila mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80.Keupayaannya turut terserlah apabila berjaya melayakkan diri sebagai finalis Anugerah AYDA (Asia Young Designer Awards), satu pencapaian yang sukar dicapai khususnya di peringkat diploma.Mengulas pengiktirafan sebagai Bintang TVET 2025, beliau menyifatkan kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya satu amanah yang perlu dipikul.Muhamad Haikal berharap lebih ramai pelajar lepasan sekolah berani memilih laluan TVET sebagai pilihan utama."TVET bukan pilihan kedua. Ia adalah platform untuk kita berkembang dan membina kerjaya," katanya.Dia merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang seni bina sebelum melangkah ke tahap profesional sebagai arkitek bertauliah."Saya mahu menjadi arkitek dan pada masa sama menyumbang kepada pembangunan negeri Perak," katanya.Kisah Muhamad Haikal ini merupakan sebahagian daripada keberhasilan usaha kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap TVET di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.  Menerusi Flagship Koridor TVET Perak di dalam pelan berkenaan, menjadi hasrat kerajaan negeri melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi seterusnya menarik minat pelabur luar bertapak ke negeri ini.

Go to News Site