Sinar Harian
SHAH ALAM – UMNO dijangka lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan penyatuan dengan Pas kerana langkah itu secara tidak langsung turut melibatkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, beliau melihat Pas tidak mempunyai masalah besar terhadap idea penyatuan, namun UMNO perlu mempertimbangkan pelbagai faktor politik semasa sebelum membuat keputusan.Katanya, walaupun terdapat desakan di peringkat akar umbi supaya kerjasama kedua-dua parti Melayu itu kembali direalisasikan, keputusan akhir tetap bergantung kepada kepimpinan tertinggi parti masing-masing."Saya berpendapat kunci penyatuan ini terletak di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu sendiri. Jika beliau mahu, maka tidak mustahil. Tetapi pastinya Ahmad Zahid akan ambil kira kedudukan Bersatu dalam gabungan pembangkang."Saya juga tidak rasa Bersatu mahu bergabung dengan UMNO kerana ini boleh mengganggu kestabilan status quo di dalam Perikatan Nasional (PN) itu sendiri, terutama sekali dalam soal membabitkan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.Pada Isnin, Pas mencadangkan agar semangat muzakarah bagi mencari kebenaran dihidupkan semula sebagai jalan penyelesaian kepada kemelut perpaduan antara parti itu dengan UMNO.Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, perpaduan yang ingin dibina mestilah berasaskan model ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bermula dengan penyatuan bangsa Arab melalui Islam dan kemanusiaan, diikuti pembentukan masyarakat majmuk yang adil.Bagaimanapun, Ariff Aizuddin berkata, kerjasama Pas-UMNO berpotensi beri kelebihan besar kepada kedua-dua parti dalam menghadapi PRU16, khususnya di kawasan majoriti Melayu.Katanya, kedua-dua parti masih mempunyai blok sokongan yang kukuh dan penyatuan itu mampu meningkatkan prestasi pilihan raya mereka sekiranya berjaya direalisasikan."Saya melihat antara kelebihan penyatuan tersebut ialah ia mampu menyumbang kepada prestasi pilihan raya akan datang terutama di kawasan majoriti Melayu."Kelebihan itu tidak boleh dinafikan kerana kedua-dua parti mempunyai blok sokongan yang agak kukuh selain masih berpegang kepada status quo semasa," ujarnya.Bagaimanapun, beliau menjelaskan cabaran utama yang bakal dihadapi ialah untuk menembusi kawasan bukan Melayu kerana gabungan UMNO-Pas mungkin menyebabkan pengundi bukan Melayu menjauhkan diri daripada mereka."Kesukarannya nanti ialah bagaimana mereka mahu menembusi kerusi bukan Melayu dan implikasinya pengundi bukan Melayu mungkin akan menjarakkan diri daripada UMNO-Pas," katanya.Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, konsep muzakarah yang dicadang Abdul Hadi bukan perkara baharu kerana ia pernah diterjemahkan menerusi kerjasama Muafakat Nasional sebelum ini.Menurut beliau, asas kerjasama Pas-UMNO masih wujud terutama dari sudut kepentingan Melayu-Islam, namun realiti politik semasa memperlihatkan cabaran lebih kompleks termasuk perbezaan pendekatan politik serta pengalaman lalu yang menimbulkan ketidakpercayaan."Penyatuan ini tidak mustahil, tetapi ia memerlukan komitmen dua hala, kesediaan berkompromi dan kesepakatan menentukan hala tuju bersama."Kolaborasi tidak boleh berlaku secara unilateral kerana ia memerlukan kesediaan kedua-dua pihak untuk berundur sedikit demi mencapai matlamat lebih besar," ujarnya.Mengulas potensi pada PRU16, beliau turut berpandangan, kerjasama Pas-UMNO boleh membantu mengurangkan perpecahan undi Melayu dan mengukuhkan sokongan di kawasan majoriti Melayu.Namun katanya, kemenangan pilihan raya tidak hanya bergantung kepada penyatuan parti Melayu semata-mata kerana faktor sokongan pengundi bukan Melayu, generasi muda, isu ekonomi serta persepsi terhadap integriti parti turut memainkan peranan penting.
Go to News Site