Sinar Harian
PUTRAJAYA – Proses kelulusan kewarganegaraan Malaysia tidak dibuat secara sewenang-wenangnya atau memenuhi agenda politik mana-mana pihak sebaliknya tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sedia ada serta tapisan keselamatan yang ketat sebelum sebarang keputusan dibuat.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, dakwaan kononnya beliau memberi kewarganegaraan kepada rakyat China sesuka hati merupakan fitnah dan berita palsu yang sengaja dimainkan bagi membakar sentimen rakyat serta mengelirukan masyarakat."Saya menyeru rakyat supaya tidak mudah terpedaya dengan naratif palsu dan sentiasa menyemak fakta daripada sumber yang sahih. Penyebaran fitnah dan berita tidak benar bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Saifuddin Nasution berkata, sepanjang memegang jawatan itu, beliau sudah beberapa kali menjelaskan perkara tersebut berserta data lengkap di Parlimen dan dalam sesi bersama media.Namun katanya, poster berunsur fitnah dan berbaur 3R itu kembali tular walaupun penafian mengenai isu sama telah dibuat pada Mac tahun lalu.Sehubungan itu, beliau menyeru pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita fitnah dan palsu itu agar menghentikan segera tindakan tidak bermoral tersebut dan bersama-sama menyokong usaha kerajaan dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu krisis bekalan global yang memberi kesan kepada rakyat."Ini bukan masanya untuk menimbulkan keresahan, memainkan sentimen atau menambah beban rakyat dengan fitnah serta propaganda yang tidak berasas."Dalam keadaan rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi global, semua pihak seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat serta mengutamakan kestabilan, perpaduan dan kesejahteraan negara," jelasnya.
Go to News Site