Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Satu insiden letupan dipercayai melibatkan dron yang tidak dikenal pasti dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ), Naqoura kira-kira jam 5.30 petang (waktu Malaysia) pada Selasa.Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lokasi kejadian kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan."Letupan tersebut berlaku berhampiran pagar perimeter UNIFIL HQ pada jarak kira-kira 20 meter dari tempat rehat Pegawai Staf Tentera (PST) Malaysia, dikenali sebagai Malaysia House, yang mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar serta dalam bangunan berkenaan."Terdahulu, pada kira-kira jam 5.19 petang (waktu Malaysia), siren amaran telah dibunyikan dan arahan untuk memasuki bunker telah dikeluarkan kepada semua PST yang bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan susulan situasi ancaman di kawasan operasi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Mohamed Khaled berkata, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku."Kawasan sekitar Malaysia House telah ditutup sementara susulan kejadian itu bagi tujuan siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL."Pada masa yang sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan melibatkan struktur bangunan dan peralatan, manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13," katanya.Dalam masa yang sama, Mohamed Khaled memberi jaminan Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi semasa di kawasan operasi di samping bekerjasama rapat dengan pihak UNIFIL dan elemen berkaitan bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara.
Go to News Site